Oleh Shamsul Munir Safini


Butterworth: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan menyertai aktiviti Sambutan Hari Kebangsaan 2015 peringkat Pulau Pinang.

Bahagian Hal Ehwal Awam ATM, melalui kenyataan media dikeluarkan pihaknya memberitahu bahawa tindakan itu diambil selepas kerajaan negeri Pulau Pinang menggunakan tema sambutan sendiri 'Bersih,Cekap,Amanah' dan tidak sejajar dengan semangat sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Tema yang diputuskan oleh Jawatankuasa Pusat Sambutan Hari Kebangsaan 2015 adalah 'Sehati Sejiwa' perlu disokong dan diamati oleh semua seperti tahun-tahun lepas.

Berdasarkan kenyataan media itu, ATM yang turut serta dalam setiap sambutan hari kebangsaan sebelum ini adalah berdasarkan kepada kesepakatan di setiap negeri menggunakan tema setiap sambutan dan ia melambangkan kesepaduan nasional.

Ia antara lain menunjukkan penghargaan rakyat ke atas sumbangan dan pengorbanan warga ATM yang terdahulu dan sekarang dalam mencapai kemerdekaan dan mempertahankan kedaulatan negara.

Sehubungan itu, berdasarkan tindakan kerajaan Pulau Pinang yang menggunakan tema sambutan sendiri, ATM mengambil ketetapan untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti sambutan Hari Kebangsaan peringkat Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2015 @ 8:46 PM