UJAH (kiri) dicabar dua pemain Hertha Berlin.
UJAH (kiri) dicabar dua pemain Hertha Berlin.

Berlin: Werder Bremen tidak bernasib baik mendapatkan gol kemenangan pada lewat permainan sebelum terpaksa berpuas hati dengan seri 1-1 menentang Hertha Berlin dalam aksi Bundesliga, awal pagi semalam.

Kecundang 0-3 kepada Schalke 04 pada perlawanan pembukaan musim minggu lalu, bekas juara Werder ketinggalan apabila Valentin Stocker menjaringkan gol pada minit keenam.

Hertha yang memburu rekod permulaan terbaik Bundesliga dengan dua kemenangan berturut-turut, kemudian membenarkan lawan menyamakan kedudukan pada minit ke-26 apabila pemain baru Anthony Ujah menyempurnakan hantaran lintang Ulisses Garcia.

Kelab Berlin itu yang turut mara ke pusingan kedua Piala Jerman, memulakan babak kedua dengan baik dan pemain tengah Switzerland, Stocker hampir menjadikan kedudukan 2-1 apabila sepakannya yang terbias tersasar sedikit dengan penjaga gol Werder sudah tertewas.

Hertha mengumpul empat mata daripada dua perlawanan manakala Werder hanya satu mata. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2015 @ 5:05 AM