RUNDINGAN BAM untuk membawa masuk Zulfadli masih tidak berjaya.
RUNDINGAN BAM untuk membawa masuk Zulfadli masih tidak berjaya.
Oleh Rodly Fadly


Kuala Lumpur: “Jangan buang masa memujuknya, biarkan dia!” Itu pesanan tokoh akademik dan pengkritik sukan, Tan Sri Khoo Kay Kim berhubung isu penyertaan pemain badminton perseorangan negara, Zulfadli Zulkifli ke dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang seolah-olah tiada jalan penyelesaian.

Kay Kim berkata, dengan segala usaha yang dilakukan BAM untuk memujuk Zulfadli termasuk campur tangan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, badan induk badminton negara itu sepatutnya meletakkan noktah terhadap isu berkenaan dengan segera dan memberi tumpuan kepada pemain lain di bawah naungan mereka.

“Bagi saya isu ini terlalu remeh untuk dipanjangkan. Beri dia (Zulfadli) peluang terakhir untuk rundingan, jika dia menolak juga, maka janganlah buang masa memujuknya, biarlah dia dengan haluannya sendiri.

“Saya tidak tahu apa masalah sebenar yang menyebabkan Zulfadli enggan menyertai BAM, hanya dia dan badan induk itu yang tahu. Saya dengar, sudah banyak kali rundingan dilakukan antara kedua-dua pihak tapi tiada kata putus.

“Kalau begitu, tak usahlah buang masa, kalaupun nak berunding, beri sekali saja lagi. Selepas itu tutup buku. Jika dia masih berdegil untuk terus dengan statusnya (sebagai pemain bebas) biarkanlah, mungkin itu yang terbaik untuk dirinya.

“Daripada BAM terus membuang masa memikirkan masalah seorang pemain, lebih baik mereka fokus pemain sedia ada di bawah naungan mereka. Didiklah mereka sebaik-baiknya, mungkin selepas ini bukan seorang pengganti Datuk Lee Chong Wei dapat dilahirkan malah lebih ramai,” kata Kay Kim.

Bagaimanapun, beliau turut menasihati Zulfadli agar memikirkan masa depan kariernya yang kelihatan tidak berkembang sejak muncul juara remaja dunia 2011.

Ketika pesaing seangkatannya seperti pemain Jepun Kento Momota dan Vixtor Axelsen (Denmark) kini berada dalam ranking 10 terbaik dunia, pemain berusia 22 tahun kelihatan semakin jauh ketinggalan apabila sekadar menduduki ranking ke-41.

“Dalam apa bidang sekalipun, jika kita mendapati perkembangan diri tersekat dan tidak meningkat, perubahan perlu dilakukan. Dalam soal Zulfadli, dia perlu melakukan sesuatu untuk meningkatkan permainannya sesuai dengan usia dan status sebagai bekas juara remaja dunia.

“Kalaupun dia tidak mahu menyertai BAM, dia perlu mencari jalan lain meningkatkan prestasinya dengan beberapa pendekatan baru, contohnya latihan. Pada usia 22 tahun, dia sepatutnya sudah menjadi pemain yang matang.

“Pada masa sama, saya berharap BAM akan terus memberi sokongan kepadanya walaupun dia tidak bernaung di bawah mereka. Contohnya, jika dia layak untuk menyertai sesuatu kejohanan, maka hantarlah dia tanpa sikap pilih kasih dan prejudis,” katanya.

Isu penyertaan Zulfadli ke dalam BAM tercetus ekoran nasihat Khairy yang mahu pemain berkenaan menyertai badan induk itu ekoran prestasi memberangsangkan di Kejohanan Badminton Dunia di Jakarta, baru-baru ini. Dia layak ke pusingan ketiga tapi tewas kepada pemain Hong Kong Wei Nan.

Malah, Khairy secara berterus-terang menyatakan bahawa Zulfadli calon paling layak menggantikan pemain nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei. Nasihat Menteri Belia dan Sukan itu turut disokong banyak pihak termasuk Chong Wei sendiri yang menganggap permainan Zulfadli akan dapat dipertingkatkan jika dia menyertai BAM.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2015 @ 5:09 AM