Kuala Lumpur: Kepingan logam yang sebelum ini disyaki pintu pesawat yang ditemui di kawasan berbatu pantai Pulau Reunion disahkan sebagai tangga yang biasa digunakan di rumah.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia, Azharuddin Abdul Rahman, berkata hari ini, kepingan logam yang ditemui di pantai dekat bandar Saint-Denis Ahad lalu, tiada kaitan dengan siasatan MH370.

“Saya mengetuai siasatan di Perancis untuk menganalisis serpihan (flaperon) yang dibawa balik. Saya membaca melalui media (mengenai kepingan besi) ia adalah komponen pintu (pesawat.”

“Bagaimanapun, saya sudah memeriksa dengan Jabatan Penerbangan Awam serta mereka yang berada di Pulau Reunion dan ia (kepingan besi) itu ialah tangga,” katanya kepada AP dari Paris melalui panggilan telefon.

Kementerian Pengangkutan mengesahkan flaperon yang ditemui minggu lalu ialah komponen pesawat Beoing 777 dan disahkan pihak berkuasa Perancis serta Boeing, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat dan pasukan penyiasat Malaysia.

Pakar akan memastikan sama ada ia milik pesawat penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China, membawa 239 penumpang serta anak kapal.

Pakar terbabit dijangka memulakan siasatan terhadap flaperon itu Rabu ini.

Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam kenyataan Ahad lalu, berkata wakil dari Malaysia, Amerika, China, Perancis dan Boeing akan bekerjasama mengenal pasti flaperon itu.

Sementara itu, AP memetik seorang pegawai Kementerian Pengangkutan Malaysia sebagai berkata, kerajaan Malaysia akan meminta wilayah di sekitar Pulau Reunion memberitahu jika menemui sebarang serpihan pesawat. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 6:13 PM