LAKONAN dalam Qasih Ramadan, Gerobok Raya meruntun jiwa penonton melalui penghayatan berkesan.
LAKONAN dalam Qasih Ramadan, Gerobok Raya meruntun jiwa penonton melalui penghayatan berkesan.
Oleh Norhadiani Baharom


Makin jarang wajah pelakon Eja atau Siti Shahrizah Saifuddin, 43, menghiasi televisyen akhir-akhir ini. Kemunculannya menerusi drama Qasih Ramadan dan telefilem Gerobok Raya pada 9 Syawal lalu, ternyata mengubat rindu peminat.

Berpasangan dengan seorang lagi pelakon senior, Zamarul Hisham, kedua-dua naskhah itu meruntun jiwa penonton melalui penghayatan diberikan.

Adakah kemunculan sekali-sekala pelakon tinggi lampai ini bersangkut paut dengan perubahan imejnya atau dia sendiri bersikap selektif?

Eja yang ditemui baru-baru ini berkongsi pendiriannya. Kata Eja, berhijab bukan halangan besar untuk menghasilkan filem atau drama yang baik.

“Jika di lihat senario sekarang, ramai pelakon mahupun penyanyi masing-masing sudah berhijab seiring dengan usia, masa dan keadaan.

“Saya tidak pernah putus tawaran berlakon sebaik berhijab tetapi jarang muncul di TV disebabkan saya cerewet untuk terbabit dalam satu-satu produksi.

“Kalau dulu saya cerewet tetapi sekarang saya lebih cerewet. Biarlah sedikit tapi diingati dan ada makna yang tersendiri daripada banyak tapi dilupakan.

“Jangan pernah tamak dalam hidup dan harus percaya pada rezeki serta bahagian masing-masing,” katanya.

Mengakui terharu masih diberi kepercayaan membawa watak utama dari petikan naskhah yang baik, kejayaan kedua-dua drama dan telefilem dibintangi Eja itu kerana pasukan kerja yang bagus.

Eja juga akui seronok bekerjasama dengan Zamarul, disifatkan antara pelakon lelaki hebat di negara ini. Walaupun masing-masing sudah lama berlakon, baru-baru ini saja mereka berpeluang bergandingan.

“Seronok dapat bekerja de­ngan pelakon yang faham kehendak cerita dan menzahirkan sepenuh perasaan mereka. Itu antara sebab utama saya memilih untuk terbabit dalam dua projek ini.

“Sebab lain kerana jalan ceritanya yang memberi pengajaran serta iktibar yang harus diambil berat dalam setiap filem mahupun drama yang saya jayakan. Bukan hiburan semata-mata.

“Saya pun rindu untuk bertemu peminat yang sentiasa menonton dan menyokong hasil kerja saya. Sesekali muncul di sambut baik, satu perkhabaran yang menggembirakan buat pelakon seperti saya,” katanya.

Kata Eja, dia juga sebolehnya mengelak terbabit dalam produksi drama berepisod yang menjalankan penggambaran di luar kota mahupun luar negara.

Sejak bergelar ibu, Eja mengutamakan tanggungjawab­nya sebagai ibu dalam segala hal.

“Apapun yang saya lakukan, anak saya Nur Eishal pasti didahulukan. Buat masa sekarang saya lebih selesa membabitkan diri dalam telefilem yang tempoh penggambaran hanya mangambil masa tujuh hingga lapan hari.

“Keluarga dan kerjaya buat masa sekarang biarlah seiring tapi keutamaan saya tentu pada kehidupan berkeluarga ter­utama sekali untuk Nur Eishal. Saya mahu dia membesar di depan mata saya dan tidak mahu timbul rasa terkilan di kemudian hari.

“Setiap detik masa itu tidak boleh diputar semula. Duit dengan apa cara sekalipun kita boleh cari, jadi saya tidak mahu sia-siakan anugerah yang Allah SWT beri.

“Tambah pula dengan keizinan suami yang tidak menghalang minat saya dengan syarat saya tidak abaikan tang­gungjawab sebagai isteri dan ibu, wajarlah saya gunakan kepercayaan diberi sebaik mungkin,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon dilahirkan pada 18 Januari 1972 itu meluahkan rasa terharunya dilantik sebagai duta gedung beli-belah Souq Connection yang bakal dilancarkan esok (Isnin). Kata Eja, konsep berbelanja dan bersedekah menarik minatnya menerima pelawaan itu.

“Saya bersetuju menjadi duta Souq Connection kerana kagum dengan konsep perniagaan yang diketengahkan pemilik gedung membeli-belah online ini.

“Dicetuskan empat beradik yang lebih selesa identiti mereka dirahsiakan, modul perniagaan mereka tidak hanya memikirkan dunia tetapi juga keuntungan di akhirat.

“Bagi saya, walaupun tidak menderma secara terang tetapi sebagai duta saya dapat menarik vendor Muslim yang lama dan baru untuk sama-sama menyertai perniagaan online ini kerana sebahagian hasil jualan yang dikumpulkan setiap bulan akan disalurkan kepada tiga pertubuhan amal iaitu Aman Palestin, MAKNA termasuk kempen Naik Taraf Surau kepada Masjid Kota Damansara.

“Justeru terserah kepada pelanggan yang membeli untuk memilih mana-mana pertubuhan amal yang mereka mahukan. Ini wajib dilakukan pelanggan sebelum membuat pembayaran.

“Contohnya pelanggan Muslim, mereka boleh pilih Aman Palestin atau Naik Taraf Surau Ke Masjid Kota Damansara dan bagi yang bukan beragama Islam, mereka boleh pilih MAKNA. Pilihan di hati dan tangan pelanggan,” katanya.

Eja menyifatkan modul perniagaan yang membawa konsep membeli sambil menderma lalu dikongsi dengan golongan kurang berkemampuan sebagai satu idea dan pelaksanaan yang hebat.

Antara tarikan lain, Souq Connection menyediakan kolum untuk vendor membabitkan peniaga biasa termasuk kolum selebriti dan pereka fesyen terkenal.

“Mahu tahu lebih lanjut gedung beli-belah online ini, layari laman www.souqconnection.com,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2015 @ 5:02 AM