SALMAN Khan melambai kepada peminat di kediamannya di Mumbai. FOTO fail AFP
SALMAN Khan melambai kepada peminat di kediamannya di Mumbai. FOTO fail AFP

NEW DELHI:Pelakon terkenal Bollywood Salman Khan terpaksa menarik balik kenyataannya berhubung dakwaan tweet kontroversinya mengenai dalang di sebalik kejadian letupan bom di Mumbai pada 1993 yang meragut 257 nyawa dengan 1,400 orang lagi mengalami kecederaan kritikal.

Beliau menarik balik tweet berkenaan, menawarkan permohonan maaf tanpa syarat dan menyatakan bahawa beliau tidak pernah berniat untuk membayangkan bahawa pesalah kes letupan Mumbali pada 1993 Yakub Memon tidak bersalah.

Dalam siri tweet beliau awal Ahad, Salman Khan mempertahankan Yakub yang dijadual akan digantung pada 30 Julai selepas gagal dalam rayuannya.

Pelakon berusia 49 tahun itu mendakwa Yakub adalah orang yang tidak bersalah dan ia adalah adik Yakub, yang dikenali sebagai Tiger Memon, yang harus menghadapi hukuman gantung kerana peranannya dalam kejadian letupan pada 1993.

Dalam tweet, Salman Khan didakwa menyifatkan Tiger Memon sebagai "serigala" yang bersembunyi di Pakistan dan mahu kerajaan Pakistan untuk mengesahkannya.

Penyokong parti-parti politik yang diketuai oleh BJP dan sayap radikalnya RSS, kecewa dengan kenyataan Salman Khan bahawa kerajaan tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk membawa Tiger Memon ke muka pengadilan, mengadakan bantahan di hadapan pangsapuri mewahnya di Mumbai.

Ia adalah usaha bapa Salman Khan, Salim Khan, yang pada mulanya cuba untuk memperbaiki keadaan dengan mengatakan bahawa anaknya adalah "jahil" dalam perkara itu.

Beliau (Salim Khan) memberitahu 'Times Now', saluran berita utama di Mumbai, bahawa apa sahaja yang ditulis oleh Salman Khan tidak bermakna dan dia tidak menyokongnya dan Salman Khan silap dalam perkara itu.

Sejak beberapa hari lalu, terdapat debat yang hebat di media tempatan di India sama ada Yakub harus digantung seperti yang dijadualkan. Beberapa penyokong mendakwa bahawa Yakub, seorang akauntan bertauliah, tidak pernah terbabit dalam pengeboman 1993.

Bagaimanapun, beliau telah ditangkap dan disabitkan dengan konspirasi jenayah, mengatur wang untuk membeli kenderaan yang digunakan oleh pengebom dan menguruskan tiket penerbangan ke Dubai untuk beberapa konspirator. Petisyen memohon belas kasihan Yakub kepada gabenor Maharashtra telah ditolak dan, baru-baru ini, dia pergi ke Mahkakamah Agung semula untuk memohon supaya menggantung pelaksanaan hukuman ke atasnya. Jika rayuannya ditolak, dia akan digantung di Penjara Pusat di Nagpur pada 30 Julai. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2015 @ 5:33 PM