SEORANG askar Yahudi memeriksa sebuah kenderaan di Diyarbakir, semalam.
SEORANG askar Yahudi memeriksa sebuah kenderaan di Diyarbakir, semalam.

Ankara: Militan Kurdis membunuh dua askar Turki dalam satu serangan semalam, tindakan yang dilihat sebagai membalas dendam terhadap operasi Ankara ke atas Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang dilancarkan seiring dengan serangan ke atas kumpulan Negara Islam (IS) di Iraq.

Militan berkenaan melakukan serangan itu dengan meletupkan sebuah bom kereta dan jerangkap samar yang dipasang di tepi jalan ketika sebuah kenderaan tentera melalui lebuh raya berhampiran Diyarbakir, bandar di tenggara Turki yang majoriti penduduknya etnik Kurdis.

Empat askar kerajaan turut cedera dalam kejadian itu.

PKK yang dianggap kumpulan pengganas oleh Ankara dan Washington turut menyasarkan polis di tenggara dan beberapa kawasan lain.

Ia menuduh kerajaan Turki membantu IS menindas Kurdis Syria.

PKK melancarkan pemberontakan terhadap Ankara untuk mendapatkan kuasa autonomi bagi masyarakat Kurdis sejak 1984.

Dalam pada itu, pemimpin pembangkang Turki menuduh Presiden Tayyip Erdogan melancarkan serangan terhadap IS di Iraq sebagai cara untuk mengelabui tindakan ke atas etnik Kurdis negara itu dalam usaha meningkatkan sentimen anti-Kurdis menjelang pilihan raya awal hujung tahun ini. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2015 @ 7:27 AM