Lawatan Seo In Youn dan Kang Kyun Sung ke rumah Shim Hyung Tak, berjaya menyingkap kisah sedih yang pernah dilaluinya bersama keluarga sebelum dikenali.

Kata Hyung Tak, dia perlu membayar hutang dengan melakukan banyak kerja sambilan. Semua duit yang dia dapat disalurkan terus untuk membayar hutang.

“Saya mengelak daripada berkongsi tekanan yang terpaksa alami, termasuk mengenai kelaparan dan kehilangan berat badan,” katanya.

Ibu Hyung Tak turut berkongsi kebaikan anaknya yang sanggup berkorban untuk keluarga selepas mereka ditipu. Katanya, dia pernah menulis nota mahu membunuh diri dan mendapatkan segenggam pil tidur untuk ditelan kerana tidak sanggup lagi melihat dan menempuh realiti yang sangat sukar ketika itu.

Hyung Tak terbaca nota itu dan mengetahui perancangan ibunya, lalu merampas pil tidur dan menelannya sendiri.

Kata Hyung Tak, dia tidak suka cara ibunya berfikir ketika itu menyebabkan dia menelan 10 biji pil tanpa berfikir panjang.

“Saya mula berkhayal dan pergi ke wad kecemasan lalu memberitahu doktor saya telan pil tidur,” katanya terus menangis.

Ibunya berkata, sebaik tiba di hospital anaknya menasihatinya supaya dia tidak lagi cuba bunuh diri.

“Ibu jangan buat macam itu lagi. I Marilah kita bersatu tenaga dan teruskan kehidupan,” dedah ibunya mengimbas kembali saat itu.

Sebaik saja terkenangkan peristiwa lampau, Hyung Tak dan ibu bapanya mula menangis teresak-esak, sekali gus turut menyentuh hati kru lain di situ.

Segala kisah ini disiarkan menerusi Some Guy Some Girl pada saluran SBS.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2015 @ 5:01 AM