Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor merampas 3,542 barangan berjenama tiruan termasuk beg tangan, topi dan tali pinggang yang semuanya bernilai RM145,000 dalam serbuan di empat premis pemborong di Taman Johor Jaya di sini, Jumaat lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK negeri, Mohamad Mokhtar Yeop berkata, pihaknya bertindak selepas menerima aduan daripada pemilik jenama dari Kuala Lumpur berhubung pembekalan barangan jenama mereka yang tiruan di sekitar bandaraya ini.

"Antara jenama yang terbabit adalah Adidas, Chelsea, Nike, Levi's, LV dan Gucci yang mana produk menggunakan jenama berkenaan dikenalpasti sebagai tiruan selepas dicamkan oleh pemilik-pemilik cap dagang berkenaan.

"Semua barangan yang dirampas disita dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011," katanya ketika sidang media di Stor KPDNKK Johor di Kempas di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua barangan tiruan itu dibawa masuk dari China dan Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2015 @ 1:56 PM