SESUAI tunggangan jarak jauh.
SESUAI tunggangan jarak jauh.
Oleh Erywan Norshal

Ramai yang mengatakan motosikal kategori skuter sangat mudah ditunggang kerana tidak perlu menukar gear berbanding jentera dua roda konvensional.

Bagaimanapun, skuter yang ‘berlambak’ di pasaran hanya menggunakan enjin bersesaran kecil dan tidak sesuai untuk tunggangan jarak jauh.

Cuma beberapa jenama menawarkan skuter berenjin lebih besar seperti Aprilia SR Max 300 yang diperkenalkan oleh pengimport rasminya, Naza Premira Sdn Bhd.

Bagi yang mahu menunggang skuter ini, anda terlebih dahulu perlu mempunyai lesen B kerana ia dijanakan dengan enjin 278 cc dan dikatakan paling mantap dalam ketegorinya.

Enjin silinder tunggal empat injap dengan sistem penyejukan cecair mampu menjana kuasa mencecah 22 kuasa kuda pada 7,250 rpm dan tork maksimum 23 Nm pada 6,000 rpm.

Keupayaan enjin itu memberi keselesaan tunggangan jarak jauh atau berulang-alik ke pejabat tanpa rasa penat. Keselesaan tunggangan juga ditingkatkan menerusi tempat duduk lebar dan empuk.

Tangki minyaknya berkapasiti 15 liter khusus untuk tunggangan jarak jauh kerana tidak perlu kerap berhenti mengisi petrol.

Ia juga menggunakan suspensi jenis fork teleskopik hidraulik pada roda hadapan dan penyerap hentak hidraulik dengan tiga talaan pra bebanan untuk roda belakang sekali gus memberi tunggangan yang mantap.

Malah, wanita juga boleh mengendalikan motosikal itu kerana beratnya 161 kilogram dikatakan paling ringan dalam kelasnya.

Berdasarkan rekaannya pula, Aprilia SR Max 300 tampak agresif lebih-lebih lagi bahagian hadapannya yang dilengkapi dengan lampu berkembar.

Cermin besar pada bahagian hadapan ternyata banyak memberi kelebihan kepada penunggang yang boleh melindungi daripada habuk atau batu kecil terkena muka.

Meter kelajuannya ringkas dengan sistem analog mencatatkan kelajuan dan putaran enjin perminit.

Aprilia SR Max 300 ditawarkan dalam dua warna iaitu putih dan hitam yang dijual pada harga RM31,800 termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan. Bagaimanapun, 50 pembeli terawal ditawarkan pada harga RM28,800 sahaja.

Selain itu, ia diberikan jaminan kilang selama dua tahun atau sejauh 20,000 kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2015 @ 5:08 AM