AFP

Santiago: Bintang Argentina, Javier Mascherano (gambar kanan) meminta mereka bertenang menjelang final Copa America hujung minggu ini menentang musuh ketat Chile.

Dua pasukan yang terdesak untuk meraih kejayaan itu akan bertembung di Santiago pagi Ahad ini dengan tuan rumah Chile berhasrat menamatkan kegagalan hampir seabad dengan memenangi kejohanan utama buat kali pertama di depan penyokong sendiri.

Argentina pula berazam menamatkan kemarau kejuaraan dalam tempoh 22 tahun dengan menampilkan satu daripada generasi pemain paling berbakat pernah dihasilkan.

Pertembungan itu semakin dihangatkan dengan permusuhan lama antara dua negara jiran itu yang pernah bertelagah mengenai wilayah dan diplomatik.

Namun, Mascherano yakin politik tidak patut menggugat apa yang dijangka satu perlawanan sengit.

“Saya harap orang boleh faham bola sepak adalah sukan, bukannya peperangan,” kata Mascherano.

“Apa yang berlaku sudah berlalu. Anda tidak boleh meletakkan sukan dalam perbalahan politik. Chile dan Argentina negara bersaudara, kami perlu mempamerkan rasa hormat,” ujar pemain tengah bertahan itu.

“Jika kami bertindak agresif dan ganas, kami akan hilang mesej hormat itu. Sukan mengenai cuba menjadi sihat dan berseronok, bukan satu peperangan.”

Pandangan Mascherano disokong pertahanan Chile, Eugenio Mena.

“Semua orang akan menonton aksi final, jadi penting kedua-dua pasukan mempamerkan rasa hormat,” kata Mena.

Argentina mara ke pentas akhir pagi Ahad ini dengan persembahan mengagumkan selepas membenam Paraguay 6-1 pada separuh akhir kelmarin ketika kapten Lionel Messi memperagakan persembahan individu menakjubkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 7:50 AM