Karachi: Hampir dua pertiga mangsa gelombang haba yang melanda selatan Pakistan minggu lalu adalah gelandangan, kata menteri kesihatan tempatan semalam, dalam pada jumlah kematian menjangkau 1,200 di Karachi.

Karachi yang mempunyai 20 juta penduduk kurang kawasan hijau atau kemudahan untuk membantu penduduk menangani cuaca panas yang melampau.

Sehubungan itu, mereka yang menjadikan jalanan sebagai tempat tinggal tidak mempunyai tempat berlindung daripada cuaca panas atau air yang mencukupi seterusnya mengakibatkan golongan itu paling terkesan.

Menteri berkenaan, Jam Mehtab Dahar berkata: “Kira-kira 60 hingga 65 peratus mangsa adalah penagih dadah dan pengemis. Golongan gelandangan.

“Baki 35 hingga 40 peratus kebanyakannya membabitkan wanita tua yang meninggal dunia di rumah dan tidak terdedah secara langsung kepada cuaca panas seperti golongan gelandangan.”

Kata-katanya secara tidak langsung menggambarkan faktor terputus bekalan elektrik turut memainkan peranan apabila menghalang orang ramai menggunakan kipas atau pendingin udara.

Pegawai kanan kesihatan Zafar Ejaz berkata, setakat semalam 1,229 dilaporkan maut berdasarkan rekod hospital di bandar itu.

Selepas mencapai suhu paling tinggi iaitu 45 darjah Celsius pada hujung minggu 20 hingga 21 Jun lalu, suhu turun sekitar 30-an minggu lalu selepas perubahan angin membawa udara laut ke kawasan berkenaan.

Undang-undang Pakistan melarang orang Islam makan atau minum di tempat awam sepanjang Ramadan, namun segelintir ulama menggesa orang ramai tidak berpuasa jika boleh mengancam kesihatan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2015 @ 7:15 AM