FOTO hiasan ini daripada GRACE FILLED SOUL WORK
FOTO hiasan ini daripada GRACE FILLED SOUL WORK
Oleh Rabi Atul Adawiyah Ismail

Bintulu: Mayat bayi lelaki masih bertali pusat ditemui dalam plastik dibuang di kawasan semak berhampiran simpang Loji Air Sebauh, di sini, semalam.

Mayat bayi itu ditemui orang awam yang melalui kawasan itu pada 7.40 malam.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Abdul Razak Mohammad berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian menemui mayat bayi lelaki dalam keadaan tidak sempurna dengan kaki kiri tiada dipercayai dimakan haiwan liar.

Katanya, polis turut menemui sehelai kain batik di kawasan berhampiran.

"Kain batik itu dipercayai digunakan untuk membalut bayi terbabit sebelum dibuang dalam semak berhampiran laluan utama ke loji air," katanya ketika dihubungi.

Razak berkata, mayat dihantar ke rumah mayat Hospital Bintulu untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2015 @ 6:17 PM