Syanty Octavia Amry


Lakonannya begitu memberi kesan kepada penonton. Apa juga watak lakonan Sharnaaz Ahmad pasti menjadi buah mulut orang.

Bermula dengan wataknya sebagai Lan Todak dalam filem Juvana, dapat dilihat satu demi satu drama atau filem lakonannya memberi kesan kepada mereka yang menonton.

Tampil dengan drama bersiri terbaru berjudul Mencintaimu, Sharnaaz mengakui melakukan pengorbanan besar bagi menghayati wataknya sebagai budak nakal atau ‘badboy’.

Sharnaaz ketika ditemui berkata, melalui drama yang bakal disiarkan di slot Akasia TV3 itu, dia membawa dua watak berbeza, tetapi sebagai orang yang sama iaitu Hisyam.

Menurutnya, Hisyam seorang yang kurus sebelum menjadi lebih gemuk selepas lima tahun.

Justeru, bagi menjiwai watak dia perlu menurunkan berat badannya dan kemudian perlu menaikkan semula berat badan sebanyak 11 kilogram.

“Watak ini sangat istimewa dan berbeza daripada watak yang pernah saya jayakan sebelum ini.

“Saya yakin watak ini tidak pernah ada dalam mana-mana drama Melayu. Ia mencabar dan membuatkan saya bertekad mahu menaikkan berat badan tanpa arahan sesiapa,” katanya.

Sharnaaz berkata, dalam merealisasikan watak itu dia perlu cekal dan berdisiplin terutama dalam memastikan mendapat berat badan yang dikehendaki.

“Saya juga meminta macam-macam makanan di lokasi bagi memastikan berat badan naik mendadak di samping memastikan stamina seiring dengan badan saya. Saya lega kerana pihak produksi tiada masalah untuk memenuhi permintaan saya itu,” katanya.

Drama yang sedang menjalani penggambaran itu turut menampilkan pelakon baru Zahira Macwilson sebagai heroin.

Sharnaaz berkata, meskipun masih baru, dia tiada sebarang masalah bergandingan dengan Zahira.

“Setakat ini Zahira okey dan saya senang bekerjasama dengannya. Tiada masalah menjalin keserasian bersama.

“Apa yang penting bagi saya dapat menjayakan watak ini dengan sebaik­nya kerana saya tahu bukan semua orang mampu melakukannya.

“Di samping penghayatan karakter, saya juga perlu menjaga fizikal supaya bersesuaian dengan watak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2015 @ 5:06 AM