SEBAHAGIAN peserta yang menyertai kejohanan.
SEBAHAGIAN peserta yang menyertai kejohanan.
Oleh Azma Razana Johari


Laluan merentasi dua negeri iaitu Nibong Tebal di Pulau Pinang dan Bandar Baharu di Kedah menjadikan Sirkit 3 Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), baru-baru ini, sungguh unik dan menarik.

Bagi perlumbaan kali ini, peserta kategori Metro Open (Jambori) perlu menamatkan kayuhan sejauh 42 kilometer (km) manakala dalam XC Metro Race, sejauh 47km.

Ramai menganggap trek itu paling lengkap kerana membabitkan kawasan berbukit, halangan mendaki serta menuruni bukit, jambatan dan laluan berair.

Selain itu, pelumba turut melalui Kampung Sungai Buaya, Nibong Tebal dan Kampung Permatang Pasir, Bandar Baharu dan laluan di dua negeri itu dianggap paling sesuai untuk pelumba yang ingin menguji kemahiran teknikal, tahap keyakinan diri serta keserasian mengendalikan basikal masing-masing.

Malah, pelumba seakan-akan terpukau dengan pemandangan, sekali gus menikmati keindahan alam semula jadi hutan dan ladang kelapa sawit.

Pada masa sama, pelumba dapat merasakan 'tinggi atau rendahnya langit' apabila perlu melepasi tiga bukit iaitu Bukit Tebuan, Bukit Tok Non dan Bukit Dua Beradik sama ada dengan berkayuh atau menyorong saja basikal masing-masing.

Kejohanan kali pertama di­adakan di Pulau Pinang itu bermula dan berakhir di Komplek­s Sukan Kampus Kejuruteraan USM dengan kerjasama daripada USM selaku tuan rumah serta Maj­lis ­Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan dibantu pelbagai agensi lain seperti RELA, JPAM, bomba serta polis.

Selain 1,300 pelumba dari dalam dan luar negara yang menyertai kategori Jambori serta XC Metro, kayuhan turut membabitkan kategori VIP yang disertai Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar, Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof, Pengarah Kampus Kejuruteraan USM Prof Zainal Arifin Mohd Ishak dan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Superintendan Wan Hassan Wan Ahmad.

Antara nama besar yang menyertai Sirkit 3 ialah pelumba negara, Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi (SBS Giant Racing Team) yang menjuarai Kategori XC Metro (Lelaki Elit) dan pelumba wanita negara Maziyaton Mohd Radzi (SBS Giant Racing Team) yang menduduki tempat kedua Terbuka Wanita serta pemenang pingat perak acara lebuh raya Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998, Nor Effandy Rosli yang menduduki tempat ketiga bagi XC Metro (Master).

Pelumba wanita dari Thailand yang mewakili Endurace Bikers Thailand, Supuksorn Nuntana, 24, berkata, ini kali pertama dia me­nyertai kejohanan MTB di negara ini selepas diberitahu rakan sepasukan.

Menurutnya, pengalaman ini lebih manis apabila dia dinobatkan sebagai juara kategori XC Metro Race Wanita, sekali gus membawa pulang hadiah RM1,500, barangan PowerBar dan pingat kemenangan.

"Saya tertarik menyertai kejohanan ini selepas diberitahu rakan sepasukan dan kami bertiga datang ke Malaysia dengan menaiki kereta api.

"Perjalanan beratus-ratus kilometer dari Bangkok, Thailand ke Nibong Tebal, Pulau Pinang ternyata berbaloi selepas saya diumumkan sebagai juara kategori XC Metro Race Wanita.

"Laluan yang disediakan penganjur sangat mencabar dan menguji kemampuan mental serta fizikal, selain menuntut kemahiran untuk mengendalikan basikal.

"Saya berpengalaman di dalam sukan basikal lasak ini dan laluan sebegini belum pernah saya jumpa di Thailand menyebabkan sangat berpuas hati dengan pihak penganjur," katanya.

Pelumba yang mewakili Penjara Seberang Perai Cycling Club (PSPCC) Mat Zahir Ahmad Bakri, 27, berkata, dia puas hati dengan laluan disediakan serta pengurusan dilakukan penganjur.

Jelasnya, dia lihat penganjur tidak lepas tangan serta sangat mementingkan aspek keselamatan pelumba dengan meletakkan ramai pegawai teknikal di setiap 'check point' serta laluan berbahaya.

"Saya lihat pelumba yang me­ngalami kemalangan segera dibantu oleh pegawai teknikal serta ang­gota JPAM yang sentiasa berkawal di check point.

"Anggota polis dan RELA turut menjaga di setiap simpang jalan utama dan kawasan kampung bagi mengelakkan perkara tidak diingini," katanya.

Mat Zahir berkata, penganjur turut pandai 'mengambil hati' peserta dan mencipta kelainan iaitu dengan menyediakan ais krim sebagai pe­nyejuk badan di puncak bukit.

"Kami dihidangkan dengan ais krim di puncak bukit, sekali gus menciptakan pengalaman yang menarik," katanya.

Kejohanan Harian Metro MTB 2014 bermula dengan perlumbaan di Kuala Kangsar, Perak pada 23 dan 24 Ogos lalu diikuti Sirkit 2 di Temerloh, Pahang pada 26 dan 27 September lalu.

Selepas Nibong Tebal dijadikan Sirkit 3 pada 24 dan 25 Oktober, Sirkit 4 akan berlangsung di Asahan, Melaka pada 28 dan 29 November depan sebelum sirkit terakhir di Hulu Selangor pada 27 dan 28 Di­sember.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 November 2014 @ 5:01 AM