KBLB fokus kategori  junior.
KBLB fokus kategori junior.
Oleh Azma Razana Johari


Nibong Tebal: Kelab Berbasikal Lembah Bujang (KBLB) menyifatkan penganjuran Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia sebagai yang terbaik dari segi laluan serta pengurusannya.

Presiden Mohd Hafiez Abu Zarin berkata, KBLB pernah bekerjasama dengan Harian Metro ketika menjayakan kejohanan sama di Lembah Bujang, Kedah, tahun lalu.

“KBLB yakin dengan penganjuran Harian Metro MTB yang dilihat mempunyai kelas tersendiri selain sangat menitik beratkan aspek keselamatan semua yang terbabit. Malah, laluan yang perlu ditempuh juga memang mencabar ketahanan serta kecergasan peserta.

“Sabtu lalu, wakil KBLB turut serta menguji laluan bagi perlumbaan Sirkit 3 yang bermula dan berakhir di Kompleks Sukan Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) Nibong Tebal. Kami sangat puas hati dengan keadaan laluan yang dilihat ‘cukup sifat’ bagi peminat sukan basikal lasak ini,” katanya.

Beliau berkata, bagi perlumbaan Sabtu ini, KBLB akan menghantar 15 pelumba dan akan memberi fokus terhadap kategori Jamboree Junior.

“KBLB akan memberi fokus lebih kepada remaja dan menyandarkan harapan kepada pelumba berbakat untuk mengintai peluang menaiki podium.

“Malah KBLB mahu melahirkan lebih ramai pelumba basikal lasak yang mampu mengharumkan nama negara satu masa nanti,” katanya.

Beliau berkata, sebagai persiapan, mereka membuat latihan setiap hari dengan mengayuh 20 kilometer di sekitar Lembah Bujang bagi mengekalkan stamina dan kecergasan.

Beliau berharap Harian Metro MTB dapat diadakan setiap tahun kerana sukan itu diminati semua golongan rakyat di negara ini selain mengeratkan silaturahim.

Menariknya, pelumbaan kali ini membabitkan laluan di dua negeri iaitu Pulau Pinang dan Kedah apabila pelumba bagi kategori Terbuka Metro (Jamboree) perlu menamatkan kayuhan sejauh 42km manakala XC Metro Race sejauh 47km.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 5:06 AM