Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yakin eksport Malaysia mampu mencapai pertumbuhan positif bagi keseluruhan 2015 walaupun berdepan dengan situasi dagangan yang mencabar pada empat bulan pertama tahun ini berikutan terdapat beberapa negara dagangan yang mengalami penguncupan eksport.

Namun, langkah kerajaan dengan meluaskan eksport ke negara dagangan lain seperti China dan rantau ASEAN dilihat mampu mengukuhkan prestasi eksport negara.

Menterinya Datuk Seri Mustapa Mohamad berkata, penumpuan pasaran rantau ASEAN adalah penting memandangkan ia mampu berkembang antara 30 dan 35 peratus pada masa depan.

Beliau berkata, penubuhan Majlis Eksport Negara juga boleh membantu Malaysia meluaskan lagi kepelbagaian pasaran serta sektor menerusi perbincangan dalam kalangan ahlinya.

“Negara Jepun dan New Zealand misalnya yang mempunyai pasaran luas, tetapi apabila terlalu bergantung kepada satu sektor saja seperti gas asli cecair (LNG) dan apabila berlaku kejatuhan harga, ia akan merugikan kita.

“Di dalam Majlis Eksport Negara, juga kami sudah merangka strategi pasaran di China kerana ia mempunyai pasaran yang luas dan permintaan tinggi,” katanya selepas menghadiri taklimat Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) anjuran Unit Perancang Ekonomi (EPU) di sini, semalam.

Dalam taklimat itu yang dihadiri pelbagai pemain industri swasta, pihak kerajaan menjelaskan mengenai strategi bagi melaksanakan pelan dan pencapaian sektor itu sepanjang pelaksanaan RMK11.

Mustapa berkata, pembabitan sekor swasta penting terutama membabitkan suntikan dalam pelaburan yang disasarkan mampu mencatatkan pertumbuhan 9.4 peratus setahun.

Katanya, kementeriannya juga memfokuskan beberapa sektor baru dalam RMK11 antaranya aeroangkasa dan peralatan perubatan yang dijangka mampu menjana peluang pelaburan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 11:29 AM