Salam deko! Antara ruang yang sering diberi perhatian dalam menata rias kediaman adalah ruang makan. Mengimbau kembali puluhan tahun yang lalu, kebiasaan masyarakat di negara ini menempatkan ruang makan di dalam ruang dapur. Kini kebanyakan dari kita tidak lagi gemar menjamu selera di ruang dapur tetapi lebih memilih mempunyai ruang makan sendiri atau terasing dari ruang dapur.

Bercerita berkenaan ruang makan sudah tentu perabot utama yang perlu ada di ruang itu ialah set meja makan. Lazimnya set meja makan didatangkan dalam empat, enam atau lapan tempat duduk. Namun sentuhan moden hari ini juga menampilkan set meja makan mini dengan dua tempat duduk.

Semuanya ada di Courts dan sebelum membeli sesebuah meja makan apa yang perlu anda titik beratkan adalah ruang yang anda miliki dengan jumlah ahli keluarga bakal menggunakannya. Jika anda baru sahaja mendirikan rumah tangga, set meja makan dengan empat tempat duduk sudah memadai bagi memenuhi keperluan anda ketika ini.

Namun jika anda memiliki keluarga yang besar atau pun sering menerima kunjungan tetamu, set meja makan yang lebih besar dan mempunyai banyak kerusi antara pilihan terbaik. Jika anda mempunyai bilangan ahli keluarga yang melebihi dari jumlah kebiasaan kerusi set meja makan misalnya, anda boleh membeli kerusi tambahan dari jenis mudah di simpan seperti kerusi jenis boleh lipat. Ini bagi memudahkan anda untuk menyimpan lebihan kerusi ini jika ia tidak di perlukan dalam sesuatu masa dan menjimatkan ruang.

Kebiasannya set meja makan datang dalam rekaan bersegi, bulat atau bujur. Jadi anda perlu memahami ruang makan yang anda miliki supaya set meja makan yang dibeli nanti kelihatan sepadan dan ideal. Jika anda memiliki ruang makan yang terhad, pilihan meja makan dengan rekaan empat segi adalah lebih praktikal berbanding set meja makan berbentuk bulat yang selalunya memerlukan ruang lebih luas.

Material set meja makan di Courts pula membabitkan empat kombinasi utama iaitu diperbuat sepenuhnya daripada kayu, set meja makan kayu gabungan kaca, set meja makan gabungan kayu dan besi serta set meja makan gabungan logam dengan kaca. Paling mendapat sambutan dan popular ialah gabungan kaca dan kayu, serta buatan kayu sepenuhnya.

Kita juga sedia maklum, set meja makan direka untuk disesuaikan dengan tema ruang kediaman.

Seperti yang ditawarkan di Courts, set meja makan dari koleksi klasik seperti Narita dan Medina menjadi pilihan bagi anda yang mempunyai citarasa retro. Bagi yang memilih konsep kediaman moden pula, koleksi Hilldales dan Tresco pasti menjadi pilihan yang sempurna.

Ketibaan Aidilfitri yang bakal menjelang nanti membuatkan ramai isi rumah mula tercari-cari idea bagi menghiasi ruang makan kerana pada hari-hari keramaian ruang makan menjadi ruang yang paling penting dan tempat berkumpul sanak saudara bagi menjamu selera. Pilihlah warna dinding dari koleksi warna pastel lembut untuk ruang makan bagi menaikkan mood santai dan teknik pencahayaan yang memadai pada ruang makan, kerana ruang itu tidak perlu terlalu terang malah tidak sesuai juga jika terlalu malap.

Alas meja pula datang dalam pelbagai pilihan mengikut saiz, fabrik, warna dan ketebalan.Kini alas meja tidak perlu lagi mengikut bentuk meja sebaliknya lebih bebas namun apa yang perlu dilakukan ialah pilihan alas meja harus lebih kecil dari saiz meja.

Jika ingin menyerlahkan alas meja itu sendiri kedudukan yang terbaik bagi meletakkan alas meja ialah di tengah meja.

Jika anda memilik set meja makan yang besar maka letakkan sedikit hiasan di tengah-tengahnya bagi menghindari ianya kelihatan polos. Seelok-eloknya dapatkan bekas kaca berisi jambangan bunga segar bagi mengindahkan suasana meja makna anda. Sebaliknya jika anda memilik meja makan bersaiz kecil, memadai dengan meletakkan lilin beraroma bagi menaikkan mood dan selera saat menjamu juadah di Aidilfitri nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2015 @ 5:04 AM