Manila: Presiden Filipina, Benigno Aquino menyamakan China seperti Nazi di Jerman dalam satu ucapan ketika melawat Jepun, semalam.

Beliau juga meminta pemimpin dunia supaya berhenti daripada terus memujuk Beijing ketika negara itu terus menuntut lebih banyak wilayah di Laut China Selatan.

Aquino membuat ucapan itu ketika kebimbangan semakin memuncak berhubung program penambakan laut oleh China di perairan antarabangsa, termasuk membina landasan yang boleh digunakan pesawat tentera.

Ucapan itu mencetuskan kemarahan Beijing dan jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying berkata, dia sangat terkejut dan tidak berpuas hati dengan dakwaan Aquino yang dianggap tidak berasas.

Chunying juga mengulangi pendirian Beijing yang menuduh Filipina menduduki pulau milik China secara haram.

Dia turut menuduh Manila terus berpakat dengan negara di luar rantau itu untuk menimbulkan masalah dan memburukkan nama baik Beijing.

Aquino yang dalam rangka lawatan selama empat hari di Jepun sebelum ini pernah menyamakan tindakan China dengan pemerintahan Nazi.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama baru-baru ini turut melahirkan rasa bimbangnya berhubung ketegangan di Laut China Selatan.

Obama menggesa kuasa serantau terutama sekali China untuk menghormati undang-undang dan berhenti mencetuskan perbalahan.

Beijing menolak desakan AS untuk menghentikan kerja menambak laut di Laut China Selatan dan menegaskan ia hanya menegakkan kedaulatan negara serta menggunakan lokasi itu untuk memenuhi tanggungjawab antarabangsa.

China menegaskan bahawa ia mempunyai hak kedaulatan di hampir semua wilayah di Laut China Selatan, juga laluan utama kapal dan dipercayai kaya dengan simpanan minyak serta gas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 7:40 AM