KEADAAN di luar masjid Syiah di Dammam selepas serangan berkenaan, semalam.
KEADAAN di luar masjid Syiah di Dammam selepas serangan berkenaan, semalam.
AP

Riyadh: Empat orang terbunuh selepas seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di tempat letak kereta sebuah masjid Syiah di bandar Dammam, selatan Arab Saudi, semalam.

Kumpulan militan Negara Islam (IS) mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu, yang kedua dalam masa seminggu.

Agensi Saudi Press melaporkan, penyerang meletakkan keretanya di depan Masjid Imam Hussein ketika solat Jumaat.

Penyerang itu meletupkan dirinya selepas beberapa pengawal menghampiri kenderaan berkenaan.

“Syukur kepada Tuhan, anggota keselamatan berjaya menggagalkan serangan pengganas itu,” kata seorang pegawai.

Seorang lagi pegawai memberitahu, penyerang memakai purdah berwarna hitam yang biasa dipakai wanita Arab Saudi dan meletupkan dirinya selepas dihampiri beberapa pengawal keselamatan.

Bagaimanapun, beberapa saksi memberitahu, serangan itu digagalkan sekumpulan lelaki yang curiga melihat penyerang itu.

Pihak berkuasa melarang wanita datang ke masjid ketika solat Jumaat kerana kesukaran untuk membuat pemeriksaan ketat terhadap mereka.

Larangan itu dikeluarkan kerana bimbang serangan berdarah ketika solat Jumaat di sebuah masjid Syiah seminggu lalu berulang.

Serangan yang berlaku di kampung al-Qudeeh di wilayah Qatih itu menyebabkan 21 orang maut.

IS juga mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:08 AM