SKUAD hoki wanita negara yang akan menggalas cabaran di Singapura.
SKUAD hoki wanita negara yang akan menggalas cabaran di Singapura.
Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Wajib menang dua pingat emas. Demikian sasaran rasmi Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) kepada skuad lelaki dan wanita negara pada temasya Sukan SEA Singapura yang bakal membuka tirainya 5 Jun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MHC K Logan Raj berkata, tiada sebab untuk kedua-dua skuad negara itu gagal meraih pingat selain daripada kilauan emas kerana ia sudah menjadi tradisi sejak sekian lama di temasya sukan dwi tahunan itu.

“Sasaran sudah tentu memenangi pingat emas untuk pasukan lelaki dan wanita. Kami cukup yakin kedua-dua pasukan mampu memenuhi sasaran ini,” katanya pada sidang media mengumumkan senarai pemain ke Singapura.

Mengenai skuad lelaki negara yang sekadar menghantar pasukan remaja, Logan berkata, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Jelasnya, skuad negara sudah beberapa kali menghantar pasukan remaja yang disertai beberapa pemain senior ke Sukan SEA dan masih mampu mempertahankan pingat emas.

“Cuma mungkin skuad kali ini nampak sedikit berbeza kerana langsung tidak menggunakan tonggak senior.

“Ketika saya bermain di Korat pada 2007 dan menjadi kapten ketika itu, skuad negara juga menghantar barisan pemain muda dengan diperkuatkan hanya dua atau tiga peman senior.

“Tidak timbul sebarang masalah sebenarnya. Yang penting setiap pemain perlu mempamerkan persembahan terbaik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 11:09 AM