KETUA Polis Somyot Pumpunmuang (duduk, dua dari kiri) memperkenalkan Ko Tong (duduk, tengah) kepada wartawan di Bangkok, semalam.
KETUA Polis Somyot Pumpunmuang (duduk, dua dari kiri) memperkenalkan Ko Tong (duduk, tengah) kepada wartawan di Bangkok, semalam.
AFP

Bangkok: Seorang bekas pegawai kerajaan di Satun, selatan Thailand yang didakwa dalang utama sindiket penyeludupan manusia di wilayah itu menyerah diri kepada pihak berkuasa semalam, kata polis.

Pajjuban Aungkachotephan atau lebih dikenali sebagai Ko Tong dikehendaki pihak berkuasa kerana disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan manusia.

“Suspek menyerah diri kepada polis di Bangkok,” kata jurucakap polis Thailand, Prawut Thavornsiri.

“Polis membawa suspek ke selatan untuk soal siasat dan siasatan lanjut,” tambahnya.

Thailand melancarkan operasi bagi melumpuhkan sindiket penyeludupan manusia selepas penemuan sejumlah kubur pelarian Rohingya dari Myanmar dan Bangladesh di kawasan hutan di selatan negara itu.

Beribu-ribu pelarian ditinggalkan di hutan terpencil oleh sindiket berkenaan dan sebahagian lagi dibiarkan hanyut di dalam bot di Laut Andaman.

Pegawai Thailand termasuk polis dan tentera dituduh sengaja tidak mengambil tindakan dan ada yang bersubahat dengan sindiket berkenaan.

Pajjuban ialah bekas pegawai berpengaruh di Satun, wilayah yang terkenal dengan aktiviti penyeludupan termasuk manusia.

Media tempatan sebelum ini melaporkan Pajjuban menafikan semua dakwaan berkenaan dan menegaskan dia hanya akan memberi keterangan di mahkamah.

Seorang pegawai polis, Puthichart Ekachant memberitahu sebanyak 65 waran tangkap dikeluarkan terhadap individu yang dipercayai terbabit dengan sindiket berkenaan.

“Sehingga kini seramai 31 suspek berjaya ditahan atau menyerah diri termasuk Pajjuban,” jelasnya.

Sekiranya didapati bersalah, Pajjuban berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda sebanyak sejuta baht (RM107,115).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 12:27 PM