TERES kolam air panas semulajadi boleh mengubati penyakit kulit dan sendi.
TERES kolam air panas semulajadi boleh mengubati penyakit kulit dan sendi.
PERBANDARAN Rom, Hierapolis terbina pada kurun kedua sebelum Masihi.
PERBANDARAN Rom, Hierapolis terbina pada kurun kedua sebelum Masihi.
UNTUK ke Pamukkale dari Istanbul mengambil masa 12 jam menaiki bas.
UNTUK ke Pamukkale dari Istanbul mengambil masa 12 jam menaiki bas.
TERUJA rombongan ke Pamukkale ceria dapat melihat keajaiban  ciptaan Allah.
TERUJA rombongan ke Pamukkale ceria dapat melihat keajaiban ciptaan Allah.
Oleh Aiman Arief Edy Tonnizam


Hati melonjak gembira apabila diberitahu oleh pemandu pelancong yang kami akan ke Pamukkale. Terbayang dalam fikiran gambar pemandangan indah satu daripada keunikan alam semula jadi di Turki itu.

Perjalanan selama 12 jam dari Istanbul ke Pamukkale dengan menaiki bas bagaikan tidak terasa apabila terlihat sebuah gunung putih tersergam di depan mata. “Ohh! Itulah Pamukkale.” detik hati.

Pamukkale bermaksud ‘istana putih’ atau ‘istana kapas’ dalam bahasa Turki kerana keputihannya yang unik bak salji. Penulis bertanya kepada ayah yang juga ahli dalam bidang geologi, mengapakah gunung itu berwarna putih?

Dimaklumkan, warna putih itu adalah hasil pemendakan garam mineral kalsit sejak berjuta-juta tahun lalu. Mineral kalsit adalah elemen asas pembentukan batu kapur. Akibat keaslian yang tinggi dan kurangnya bendasing, warna mineral kalsit ini sangat putih bak kapas. Pemandangan di Pamukkale sangat mengasyikkan.

Dengan ketinggian lebih kurang 200 meter, kawasan ini dihiasi teres yang terbentuk secara semula jadi. Di teres ini ada 17 kolam air panas sekitar 35 darjah Celsius. Hairan juga mengapa air yang bertakung ini berasa panas sehingga dikenali ramai untuk mengubati pelbagai penyakit kulit dan sakit sendi?

Rupa-rupanya, air panas ini mengalir daripada puncanya yang terletak jauh dari kawasan ini iaitu sesar (rekahan dan gerakan bumi akibat gempa) yang mengeluarkan wap panas.

Sesar ini mengakibatkan lagaan antara batu kapur dan batuan enapan dan mengakibatkan pembentukan sistem hidraulik yang rencam.

Berhampiran Pamukkale terletak perbandaran Rom, Hierapolis. Pada kurun kedua sebelum Masihi, orang Rom membina kawasan mandian spa di Hierapolis kerana mereka percaya air panas ini boleh merawat pelbagai penyakit.

Keagungan Allah tiada batasnya kerana secara lazimnya di negara yang mengalami perubahan suhu sepanjang tahun, tasik dan sungai akan menjadi beku kerana takat suhu yang dibawah 0 darjah Celcius, tetapi ini tidak berlaku di Pamukkale kerana airnya yang sentiasa panas sepanjang tahun.

Air panas ini pula melarutkan garam kalsit dan memendakkannya di kawasan lebih rendah. Justeru pelbagai bentuk struktur unik seperti kesan air terjun, stalaktit (struktur tajam seperti struktur di dalam gua) dan kolam air terhasil akibat kuasa Allah SWT ini.

Hasil daripada bentuk bumi unik ini, tidak hairan Pamukkale menjadi tarikan pelancong kerana rupa bentuk geologinya yang sukar dijumpai di bumi ini. Bagaimanapun, keunikan Pamukkale tidak tahan lama. Ini kerana hasil proses luluhawa kimia akan melarutkan garam kalsit. Justeru bentuk muka buminya berubah-ubah dengan masa.

Bagi memelihara kawasan ini, pengunjung harus berkaki ayam apabila berada di kawasan ini. Pembinaan hotel dan rumah juga tidak dibenarkan di kawasan sensitif.

Pada 1960, beberapa hotel di sekitarnya diruntuhkan. Manakala, kawasan kampung berada enam kilometer dari Pamukkale iaitu di bahagian dataran yang rendah. Beginilah cara kerajaan Turki menghargai kurniaan alam ini.

Kebijaksanaan kerajaan Turki dalam memelihara Pamukkale tampak berhasil apabila pada 1988, Pamukkale dan kota kuno Hiera­polis diiktiraf sebagai tapak warisan UNESCO, sekali gus merancakkan sektor pelancongannya.

Pamukkale terhasil akibat gempa bumi. Lazimnya mengikut logik akal, gempa bumi akan memberi kesan negatif, namun keagungan Allah SWT bukan saja merubah fenomena gempa bumi, bahkan mengurniakan kita sesuatu yang indah dan takjub di Pamukkale.- Penulis pembaca Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2015 @ 5:00 AM