Damsyik: Seorang pegawai kanan Iran menyelar pemimpin Arab Saudi, Raja Salman, dan menyifatkannya sebagai pengkhianat Islam.

Republik itu juga menyifatkan serangan diketuai Arab Saudi terhadap pemberontak Houthi di Yaman sama seperti tindakan Israel terhadap Palestin.

Ketua jawatankuasa dasar luar dan keselamatan kebangsaan Alaeddin Boroujerdi turut menyuarakan sekali lagi sokongan negaranya terhadap kerajaan Syria yang turut berdepan pemberontakan yang disokong Arab Saudi.

Iran ialah penyokong kuat Presiden Syria, Bashar al-Assad sepanjang perang saudara empat tahun di Syria dengan menyediakan bantuan ketenteraan dan ekonomi.

“Kami dengan ini mengisytiharkan sekali lagi sokongan terhadap Syria.

“Tuhan akan membalas kepemimpinan Arab Saudi kerana melaksanakan kepentingan Amerika Syarikat-Israel dalam perang terhadap pemberontak Houthi Syiah.

“Dia wajar digelar pengkhianat Islam kerana membunuh kanak-kanak di Yaman, tidak ubah seperti rejim Zionis. Perbuatan itu pasti mendapat balasan daripada Tuhan,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 10:50 AM