Oleh Sudirman Mohd Tahir


Selama empat tahun turun naik mahkamah sedikit pun tidak mematahkan semangat dramatis popular, Rita Rudaini, 39, untuk terus memperjuangkan hak anak-anaknya.

Meski ada yang memandang usaha Rita itu seperti tidak ada penghujungnya, dia tetap yakin dan percaya kebenaran tetap akan terbukti. Apa yang dilakukan Rita bukanlah untuk kepentingan dirinya, sebaliknya buat dua anaknya iaitu Airit Rayyan Rizqin, 6, dan Airit Qaqa Arjuna, 4.

“Saya berjuang bukan sebab duit tapi hak saya sebagai ibu dan anak-anak. Saya hanya fikir maruah sebab itu saya sanggup berjuang. Sedikit pun saya tidak rasa menyesal sebaliknya saya jadi semakin kuat. Mungkin wanita lain tidak sanggup buat seperti saya jika kes mereka berlarutan dalam tempoh yang lama, tapi tidak saya,” katanya yang membuat tuntutan mutaah berjumlah RM300,000 daripada bekas suami, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak, 28, yang juga pemain bola sepak kelab Johor Darul Takzim (JDT).

Dalam pada itu, menyedari hakikat dunia lakonan bukan lagi keutamaannya sejak memiliki dua cahaya mata, Rita ternyata lebih selesa memberikan sepenuh perhatian dan masanya terhadap dua puteranya.

“Saya masih berlakon cuma tidak seaktif dahulu yang ‘back to back’. Keutamaan saya kini adalah anak-anak. Dalam masa sama saya juga sibuk menjalankan perniagaan produk kecantikan jenama sendiri iaitu Rudaini Beaute.

“InsyaAllah, saya akan memulakan penggambaran telefilem pada bulan depan. Buat masa sekarang, saya tidak ambil drama bersiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 8:05 AM