Oleh Aziman Rosdi

Kelana Jaya: Pakar sepakan percuma, Muhammad Nurridzuan Abu Hassan bakal menjadi taruhan buat skuad bawah 23 tahun negara (B-23) kendalian Datuk Ong Kim Swee bagi saingan Sukan SEA Singapura hujung bulan ini.

Bekas pemain Harimau Muda A itu mula mencuri perhatian apabila bukan saja berjaya menempatkan diri dalam kesebelasan utama pasukan Liga Super Perak musim ini sebaliknya dengan kekuatan kaki kirinya, dia antara pemain yang diberikan kepercayaan bagi situasi bola mati.

Tiga gol berjaya dihasilkan Nurridzuan, 20, menerusi sepakan percuma serta beberapa sepakannya bagi gerakan set-piece membantu rakan sepasukan mencipta jaringan.

Paling menarik adalah gol sepakan percuma ketika menghadiahkan Perak kemenangan 2-1 ke atas Selangor di Stadium Shah Alam namun malangnya dalam aksi itu dia dilayangkan kad merah.

Bagi Nurridzuan, dia tidak mahu hanya mampu menjaringkan gol menerusi sepakan percuma malah mahu menajamkan sentuhan bagi membantu kemenangan pasukan sekiranya dipilih Kim Swee ke Singapura.

“Kalau dapat bermain di Sukan SEA kali ini pasti ia satu pencapaian baik bagi saya kerana ia aksi pertama di kejohanan antarabangsa. Saya akan cuba membantu kemenangan pasukan bagi membalas kepercayaan jurulatih kepada saya.

“Saya banyak membuat latihan sepakan selepas latihan tapi sekarang saya mahu menjaringkan gol dalam permainan dan bukan hanya sepakan percuma. Saya mahu memperbaiki kelemahan itu dengan menajamkan lagi penyudah saya di depan gol,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:25 AM