STAF MBG bersama bakul penuh makanan berkhasiat yang boleh dihadiahkan kepada ibu sempena Hari Ibu.
STAF MBG bersama bakul penuh makanan berkhasiat yang boleh dihadiahkan kepada ibu sempena Hari Ibu.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Memiliki keluarga bahagia menjadi idaman setiap insan di dunia ini dan antara faktor yang membantu mengekalkan kebahagiaan sekeluarga adalah kesihatan tubuh yang baik.

Jika ada anak sakit, tentu ibu dan ayah tidak dapat melelapkan mata kerana bergilir-gilir menjaga si kecil, begitu juga sekiranya ibu atau ayah jatuh sakit, tentu banyak tugasan yang tergendala.

Malah, setiap kali ada ahli keluarga yang tidak sihat, hati insan tersayang sentiasa berada dalam keadaan gusar, gundah gulana dan tidak keruan. Keadaan itu sudah tentu menggugat kesejahteraan hidup berkeluarga dan menjejaskan emosi setiap ahlinya.

Berikutan itu, tabiat pemakanan yang seimbang amat penting terutama buat si ibu kerana mereka insan paling sibuk menguruskan keluarga selain menjadi tempat utama anak-anak bergantung dari segi emosi.

Sekiranya ibu mudah jatuh sakit atau lesu tidak bermaya, mereka tidak dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada anak dan membuatkan kehidupan berkeluarga juga terjejas serta kurang ceria kerana ibu adalah tunjang kepada keluarga.

Justeru, amalan pemakanan sihat dalam kalangan ibu perlu dikekalkan bagi memastikan pertahanan tubuh mereka sentiasa berada pada tahap optimum, sekali gus dapat mengekalkan kecergasan dan menjalankan aktiviti harian seperti biasa.

Menurut pakar perunding diet, Indra Balaratnam, golongan ibu sering mengejar masa untuk menguruskan jadual seharian termasuk tugas menjaga setiap ahli keluarga yang ada.

Katanya, kesibukan ibu yang lebih mementingkan orang lain sering membuatkan mereka terpaksa me–ngorbankan masa, kesihatan dan kesejahteraan diri mereka sendiri.

“Ini boleh menyebab–kan mereka tidak sempat mengambil makanan yang sewajarnya, tidak bersenam secukupnya dan tidak mendapat rehat serta tidur berkualiti. Lama-kelamaan keadaan ini menjejaskan organ dalam badan, penyerapan nutrien dan sistem imun tubuh.

“Ibu mesti meluangkan masa untuk mengambil makanan yang sewajarnya, mengamalkan diet yang seimbang, minum lebih banyak air dan lebih bijak memilih bahan makanan,” katanya.

Kata Indra, contoh makanan yang boleh diambil golongan ibu yang sibuk bagi menjadikan tubuh mereka lebih kuat dan sihat antaranya bijirin penuh, bertukar kepada beras perang dan roti mil penuh berbanding makan roti putih atau beras putih.

Mereka juga perlu amalkan memakan biji barli dan bukan sekadar minum air barli. Barli kaya dengan pelbagai zat yang mampu menguatkan tubuh selain melindungi kesihatan usus.

Mereka juga disaran mengambil makanan sekurang-kurangnya dua hidangan buah-buahan dan tiga hidangan sayuran setiap hari. Nasihatnya, setiap kali menyenduk makanan ke dalam pinggan, isi separuh pinggan dengan sayuran. Ini akan membekalkan nutrien dan membantu tubuh mendapat khasiat secukupnya.

Indra berkata, wanita yang sibuk menguruskan keluarga hingga diri kurang terurus boleh mengambil enzim yang membantu menyahtoksin, menambah baik fungsi penghadaman dan penyerapan. Hasil penyelidikan menunjukkan pengeluaran enzim oleh organ dalam badan susut apabila usia meningkat khususnya dari usia 50 tahun dan ke atas.

“Kemerosotan fungsi organ menyusutkan kualiti enzim penghadaman, yang seterusnya menjejaskan penghadaman. Ini menyebabkan badan tidak dapat menyerap nutrien dengan cekap untuk digunakan oleh badan bagi mengekalkan kesihatan.

“Keadaan ini boleh menyebabkan kita mengalami kekurangan nutrien, kesihatan kita merosot dan melemahkan daya tahan badan kita.

“Badan kita terus bekerja terlebih kuat, hingga menimbulkan keperluan enzim untuk menghadam makanan. Tekanan tambahan ini melemahkan sistem imun kita dan mengurangkan keupayaan kita untuk melindungi dan menentang penyakit,” katanya.

Dengan gaya hidup yang sentiasa sibuk, ibu lebih mudah mendapat kesan negatif terhadap kesihatan mereka. Namun, mereka boleh melengkapkan diet mereka dengan enzim makanan yang sebahagian besarnya diperoleh daripada buah-buahan dan sayuran seperti oren, anggur, betik, nanas dan salad. Buah-buahan dan sayuran perlu dinikmati secara segar kerana makanan yang terlebih masak akan merosakkan enzim.

Pada masa sama, banyakkan pengambilan salad, ulam, kerabu, buah-buahan baru dipotong dan minuman diperbuat daripada buah dan sayuran segar.

Indra berkata, pengambilan cecair secukupnya sama penting dengan pengambilan makanan seimbang kerana air membentuk lebih dua per tiga daripada berat badan manusia, apatah lagi semua sel dan organ memerlukan air untuk berfungsi.

“Dianggarkan 20 peratus daripada keperluan air dibekalkan menerusi makanan, bukan bendalir. Pengambilan makanan merangsang pengambilan dan penyimpanan air. Makanan dengan kandungan air yang tinggi menambah isi padu tetapi mengurangkan kalori dalam diet.

“Justeru, makanan dengan kandungan air yang tinggi ini membuatkan kita rasa kenyang. Buah-buahan dan sayuran adalah dua kumpulan makanan yang umumnya mempunyai kandungan air yang tinggi malah daging, roti dan produk tenusu juga mengandungi sedikit air,” katanya pada pelancaran kempen tabiat makan sihat dalam kalangan ibu yang dianjurkan MBG Fruit Shop, baru-baru ini.

Melalui kempen itu, MBG melancarkan beberapa siri promosi menarik bermula 1 Mei hingga 21 Jun sebagai penghormatan buat ibu. Sebagai tanda penghargaan, setiap ibu yang mengunjungi kedai MBG pada Hari Ibu akan ditawarkan hadiah buah-buahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 2:11 PM