ASMAH gagal menyanyikan lagu genre rock.
ASMAH gagal menyanyikan lagu genre rock.
EIJI bergoyang sakan.
EIJI bergoyang sakan.
ZUL dengan lagu Aladdin.
ZUL dengan lagu Aladdin.
HASBI tetap meneruskan persembahan biarpun terjatuh di atas pentas.
HASBI tetap meneruskan persembahan biarpun terjatuh di atas pentas.
BARISAN peserta Kilauan Emas 5, minggu ketiga.
BARISAN peserta Kilauan Emas 5, minggu ketiga.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Jalan keluar ‘ditunjukkan’ kepada Norasmah Ibrahim (Asmah) pada minggu ketiga Kilauan Emas 5 (KE-5) yang berlangsung dari Dewan Konvensyen CIDB, Cheras, Rabu lalu.

Asmah yang menyanyikan lagu Kesal nyanyian Ella terpaksa menerima hakikat mengikut jejak Nurashikin Ibrahim (Ann) yang tersingkir pada minggu kedua kerana kegagalan menyampaikan lagu dengan baik.

Dia memperoleh undian terendah berbanding peserta lain dan gagal meneruskan kemaraan dalam KE-5.

Selepas undian ditutup pada penghujung konsert, kedudukan masih diungguli Mustar dengan undian 49.68 peratus, Hasan (47.56), Hasbi (45.06), Lina (44.06), Norya (43.89), Zul (39.89), Elji (38.56), Zaman (37.79), Alin (36.73) dan Asmah (22.45).

Biarpun melakukan sedikit kesilapan ketika menyampaikan lagu Belaian Jiwa (Carefree), Mustar masih berjaya memikat peminat dengan aksinya yang bersahaja dan tersendiri.

Sememangnya konsert minggu ketiga bertemakan rock, balada & dangdut ini tampil dengan penuh drama yang mencuit hati. Penonton ketawa dan terhibur dengan aksi Hasbi yang tergolek di pentas kerana lantai licin ketika menyampaikan lagu Awang Trasher (Wings).

Bagaimanapun mereka kemudiannya mengalirkan airmata dengan kemunculan istimewa Ameng Spring menyampaikan lagu Romantis.

Tangisan iringi nyanyian Ameng

Suasana dalam dewan yang mulanya meriah bertukar sepi kerana simpati terhadap Ameng yang kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kluang, Johor.

Apatah lagi, isteri, Sabariah Zakaria dan anaknya, Wan Amar Haikal turut berada di situ, sekali gus membuatkan penonton sebak melihatkan dua beranak ini melambai-lambaikan tangan kepada insan tersayang dalam hidup mereka.

Tidak dinafikan vokal Ameng masih mantap dan memukau sehingga penonton berdiri sebagai tanda sokongan agar dia gigih menjalani kehidupan mendatang.

Asmah hampa

Sementara itu, Asmah, 51, dari Perak ketika ditemui melahirkan perasaan sedih kerana gagal meneruskan perjuangan dalam KE-5.

“Saya akur gagal membawakan lagu itu dengan baik. Ketika sesi latihan pun saya dapat rasa tempo lari dan cuba nak memperbaikinya. Sepatutnya saya nak buat ‘soundcheck’ sekali lagi sebelum konsert berlangsung, tetapi tak sempat kerana kesuntukan masa,” katanya yang lebih mahir dengan lagu tradisional.

Datuk Hattan sebagai juri menyifatkan alasan peserta yang tidak mahir menyampaikan sesebuah genre lagu sebagai tidak berasas kerana mereka sudah maklum de­ngan cabaran dalam pertandingan ini.

“Ketika sesi saringan pun kami dah jelaskan cabaran yang perlu dilalui sepanjang terbabit dalam KE. Sepatutnya peserta sudah buat ‘home work’ apabila berhasrat menyertai pertandingan begini. Saya memang tidak boleh terima alasan diberikan,” katanya.

Ketua Program Realiti & Format Astro, Namanzee Harris pula berkata, pemilihan lagu dibuat peserta sendiri menerusi undian yang dibuat.

“Kak Asmah biasanya menyanyikan lagu genre asli dan ini satu cabaran buatnya. Namun, kami tetap bantu dia pilih lagu dengan senaraikan beberapa lagu yang sesuai untuknya.

“Apapun KE-5 bukan saja memberikan tekanan tinggi kepada peserta, bahkan tenaga produksi sendiri untuk menghasilkan yang terbaik. Mengenai kemunculan Ameng pula, kami cuba mendapatkannya sejak tahun lalu, tetapi baru sekarang diberi kebenaran. Itu pun dengan beberapa syarat,” katanya.

Konsert minggu ketiga dimeriahkan lagi dengan barisan artis jemputan iaitu Zaleha Hamid, Salwa Abdul Rahman, Senario, Scan, Scoin, Sting dan Screen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2015 @ 12:57 PM