DR Abu Bakar  (kanan) bersama  Shaik Sulaiman (tengah) dan  Saifol Bahri  semasa merasmikan Bazar Inovasi  di Premium Sentral, Kuala Lumpur.
DR Abu Bakar (kanan) bersama Shaik Sulaiman (tengah) dan Saifol Bahri semasa merasmikan Bazar Inovasi di Premium Sentral, Kuala Lumpur.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (MOSTI) komited mewujudkan produk berinovasi negara yang berimpak tinggi menerusi pemberian geran bernilai RM290 juta tahun ini kepada mereka yang layak.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata, pihaknya menyasarkan untuk meluluskan sekurang-kurangnya RM270 juta daripada keseluruhan peruntukan itu untuk melaksanakan kira-kira 200 projek menjelang akhir tahun ini.

Katanya, MOSTI juga berada di landasan tepat untuk mencapai 360 produk inovasi berimpak tinggi menjelang 2020 sebagai usaha merancakkan aktiviti pengkomersialan produk berinovasi di negara ini.

“Kami yakin sasaran berkenaan mampu direalisasikan menerusi pelancaran Bazar Inovasi yang akan mengetengahkan produk inovatif tempatan ke pengetahuan umum, sekali gus menyediakan platform kepada pengusahanya untuk mempromosikan produk mereka.

“Bagi tahun ini saja, sebanyak 12 produk yang dihasilkan menerusi geran yang disediakan MOSTI sudah dikenal pasti mencapai standard tinggi dan berpotensi untuk dikomersialkan,” katanya selepas prapelancaran Bazar Inovasi dan Forum Pasaran Dinamik bagi perusahaan idea kreatif dan inovatif di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Saifol Bahri Shamlan dan Presiden Persatuan Kreatif dan Inovasi Malaysia (MACRI), Datuk Shaik Sulaiman Ismail.

Abu Bakar berkata, Malaysia kekurangan pendedahan produk inovasi yang dihasilkan berikutan usahawan yang terbabit tidak mempunyai platform sesuai untuk mengetengahkan rekaan mereka ke peringkat umum.

“Bazar Inovasi ini adalah yang pertama diperkenalkan dan ia dijangka menjadi platform kepada pengeluar produk inovasi mendapatkan maklumat lebih lanjut untuk mendapatkan geran di bawah MOSTI serta mengkomersialkan produk mereka.

“Jika bazar ini mendapat sambutan, kami akan melaksanakannya setiap minggu,” katanya.

Menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dan RMK10, MOSTI memperuntukkan masing-masing dana sejumlah RM2.89 bilion dan RM906 juta bagi menjalankan aktiviti memacu dan membangunkan aktiviti penyelidikan, pembangunan serta pengkomersialan di negara ini.

Peruntukan dana berkenaan antara lain bagi Dana Sains, Dana PraPengkomersialan, Kajian dan Penyelidikan Pengkomersialan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2015 @ 8:14 AM