SUHAIMI mengucup ibunya sambil diperhatikan isterinya Firyal Harlina Napiah di rumah mereka, semalam.
SUHAIMI mengucup ibunya sambil diperhatikan isterinya Firyal Harlina Napiah di rumah mereka, semalam.

Permatang Pauh: Ibu kepada calon Barisan Nasional (BN), Che Jan Ahmad, 71, tidak menyangka hasrat arwah suaminya Sabudin Mat mahu melihat anak mereka menjadi calon wakil rakyat tercapai walaupun tidak dapat menyaksikannya sendiri selepas meninggal dunia tiga tahun lalu akibat penyakit kencing manis.

Che Jan tidak dapat menggambarkan perasaan betapa gembira suaminya sekiranya mendapat tahu anak mereka Suhaimi kini mewakili BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh.

“Arwah pernah bercerita kepada rakannya di kedai kopi yang dia mahu melihat anaknya menjadi wakil rakyat di kampung di Permatang Pauh, di sini.

“Dia berkata, sekiranya anak kami itu dicalonkan dalam pilihan raya, dia mahu semua penduduk di kampung menyokongnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Guar Jering, di sini, semalam.

Che Jan berkata, suaminya meninggal dunia pada usia 71 tahun akibat kencing manis dan dahulunya bekerja sebagai pemandu lori.

Menurutnya, sifat kepemimpinan anaknya itu sudah mula terserlah sejak dia berada di bangku sekolah menengah apabila sering menjadi pemimpin dalam kalangan rakannya.

“Suhaimi anak ketiga daripada tujuh beradik dan anak lelaki sulung. Walaupun dia anak sulung lelaki, dia tidak kisah bermanja dengan saya di depan tiga anaknya.

“Dia seorang yang pendiam, namun mempunyai ketegasan dalam membuat sesuatu keputusan dan tidak terpengaruh dengan orang lain serta memiliki prinsip sendiri,” katanya.

Sementara itu, Suhaimi berkata, perbezaan positif antara beliau dan calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ialah kasih sayangnya kepada Permatang Pauh.

“Jika dibandingkan saya dengan Wan Azizah, saya mempunyai kelebihan kerana berasal dari Permatang Pauh dan menetap di Permatang Pauh.

“Ia akan memberikan saya lebih masa untuk fokus kepada kebajikan penduduk di Permatang Pauh berbanding Wan Azizah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2015 @ 5:16 AM