Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim memberi amaran keras kepada sesiapa saja yang terbabit dengan badan induk itu, agar tidak menjadi pengkhianat.

Karim menuntut mereka yang terbabit dengan KOM agar menjalankan tugas masing-masing terutama mengotakan janji diberikan setimpal dengan apa diterima.

“Saya ingin memberi amaran kepada semua pihak terbabit dengan KOM agar tidak menjadi pengkhianat negara.

“Saya hanya akan memberitahu siapa pengkhianat dimaksudkan itu apabila tiba masanya dan ketika ini saya harapkan mereka yang dibayar gaji agar menjalankan tugas diamanahkan,” katanya ketika isu membabitkan Pengarah Teknikal KOM Robert Ballard dan jurulatih tempatan semakin memuncak.

Ketika mengulas mengenai persengketaan membabitkan kedua-dua pihak berkenaan, Karim bagaimanapun enggan memberi sebarang komen.

Katanya, setakat ini beliau tidak menerima sebarang maklum balas daripada Ballard mahupun jurulatih tempatan berhubung permasalahan itu.

Kehadiran Ballard dikatakan membawa masalah apabila ramai jurulatih tempatan tidak berpuas hati dengan pendekatannya.

Ballard dilaporkan membangkitkan kemarahan dan menimbulkan rasa tidak puas hati beberapa jurulatih tempatan apabila sering menolak program yang sudah dirancang.

Bekas atlet Olimpik Australia, Ballard dilantik Majlis Sukan Negara (MSN) pada Februari tahun lalu dengan kontrak dua tahun sebelum dinilai semula untuk tempoh dua tahun lagi.

Karim turut memaklumkan Ballard tidak meletakkan sebarang sasaran pingat emas pada temasya Sukan SEA Singapura Jun ini, sebaliknya hanya merancang memenuhi sasaran pingat ditetapkan membabitkan emas, perak dan gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 10:50 AM