Oleh Ardyhansah Amat

Kota Kinabalu: Seorang wanita warga emas meninggal dunia akibat dilanggar kereta ketika melintas jalan di Jalan Coastal, di sini, pagi tadi.

Mangsa, Suraya Bonging Abdullah, 66, menghembuskan nafas terakhir selepas mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, kira-kira 11.52 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan Mohd Azhar Hamin berkata, sebelum kejadian mangsa dikatakan sedang melintas jalan sebelum dilanggar kereta jenis Proton Savvy, kira-kira 9.50 pagi.

"Ekoran kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah dan dihantar ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian.

"Pemandu kenderaan berusia 38 tahun pula tidak mengalami kecederaan dan kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 4:33 PM