Oleh Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek hari ini melancarkan Aplikasi Ez-ADU bagi memudahkan pengguna mengemukakan aduan mengenai isu kepenggunaan melalui telefon pintar.

Aplikasi itu dibangunkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bertujuan menangani isu pencatutan dan menjadikan pengguna sebagai perantara bagi kementerian itu memantau pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) oleh peniaga.

Hasan dalam sidang media berkata, aplikasi itu dilengkapi 10 ciri utama serta didatangkan dengan dwibahasa iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris.

Menurutnya, ia disambung terus ke media rasmi dan sistem e-aduan KPDNKK serta mesra pengguna dan mereka juga akan dibantu dengan panduan pengguna secara visual.

"Pengguna hanya perlu mendaftar sekali sahaja dan data diperlukan ialah nama, emel, nombor telefon, kata laluan, pengesahan kata laluan dan nombor kad pengenalan.

"Antara ciri lain aplikasi ini mempunyai pilihan tetapan masuk secara automatik, semakan status aduan dan sejarahnya, aduan bergambar di mana pengguna boleh mengambil gambar dan memuat naik imej sebagai bukti kesalahan serta perkhidmatan 'geotag' bagi mengenal pasti lokasi kesalahan yang diadu," katanya.

Dalam pada itu, Hasan berkata, buat masa ini, aplikasi itu boleh dimuat turun bagi pengguna Android melalui 'Play Store' secara percuma.

Katanya, ia cuma sesuai dengan telefon pintar dengan versi Android 3.0 dan ke atas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 11:03 AM