Oleh Azizan Hashim

Ipoh: Tonggak pertahanan The Bos Gaurus, Thiago Junio Aquino bertekad menghalang penyerang prolifik Terengganu, Paolo Rangel daripada melakukan sebarang kemusnahan apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan Liga Super 2015 di Ipoh, malam ini.

Pengalaman bermain menentang skuad Penyu dalam saingan suku akhir pertama Piala FA di Kuala Terengganu, Selasa lalu cukup membuatkan Thiago sedar ancaman penyerang dari negara asalnya itu.

“Dia seorang pemain yang bagus. Saya miliki rasa hormat tinggi pada Paolo. Namun kali ini saya tidak akan biarkan dia membolosi pintu gol Perak.

“Saya yakin rakan sepasukan juga tahu apa yang perlu dilakukan untuk menyekat Terengganu,” katanya.

Berdasarkan persembahan setakat ini, Thiago yakin Perak mampu mengatasi Terengganu dan juga apabila mereka turun membuat perhitungan dalam pertemuan suku akhir kedua di Ipoh, 21 April ini.

“Saya yakin kami boleh. Namun buat masa ini biarlah kami hadapi satu perlawanan demi satu perlawanan,” katanya.

Bagi menghadapi Terengganu malam ini, Thiago dijangka mendapat kembali gandingannya, Mohd Syazwan Roslan yang bebas daripada penggantungan kerana mengutip kad merah ketika menentang PDRM di Ipoh, sebelum ini.

“Syazwan sudah boleh beraksi. Ini akan menambah kemampuan benteng. Namun sebenarnya dengan siapapun saya digandingkan tidak mengapa kerana Perak memiliki pemain pertahanan mantap,” katanya.

Bek tengah Perak yang selesa beraksi di posisi itu gembira dengan sumbangannya kepada pasukan Yob yang menyaksikan Perak setakat ini berada di kedudukan kedua carta.

“Kedudukan ini petanda kemampuan pasukan Perak. Kami tidak lagi boleh dipandang remeh pasukan lain.

“Saya harap rakan sepasukan meneruskan pencapaian baik ini agar kami dapat menjulang nama Perak di persada liga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:35 AM