Kuala Lumpur: Walaupun mara ke suku akhir Siri Super Premier Terbuka Malaysia, pemain badminton nombor satu dunia, Chen Long (gambar) sedikit kecewa dengan kehadiran kurang ramai penonton di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Bagaimanapun, pemain China itu sedar keadaan itu mungkin disebabkan ketiadaan jaguh negara Datuk Lee Chong Wei yang kini menghadapi penggantungan sementara kerana gagal ujian doping pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Ogos tahun lalu.

“Saya tahu Chong Wei tidak boleh beraksi di kejohanan ini tapi berharap peminat di Malaysia akan memberikan sokongan kepada semua pemain lain.

“Saya turut berharap Chong Wei akan dibebaskan daripada penggantungan secepat mungkin dan menyertai kami semula,” kata pemain berusia 26 tahun itu yang memburu gelaran sulung Terbuka Malaysia kali ini.

Pada saingan pusingan kedua semalam, Chen Long selaku pilihan utama kejohanan dengan mudah menewaskan pemain India, Parupalli Kashyap, 21-10, 21-6 dalam masa 35 minit.

Chen Long, yang menjuarai Seluruh England bulan lalu, akan menentang pemain Jepun, Kento Momota pada suku akhir hari ini.

Momota melangkah ke suku akhir selepas mengalahkan pemain Hong Kong Hu Yun 21-6, 21-9 pada perlawanan pusingan kedua.

“Saya memperagakan aksi normal hari ini dan mahu berehat selepas ini. Saya hanya mahu memberi tumpuan terhadap perlawanan demi perlawanan dan tak tahu siapa lawan saya di final,” kata Chen Long.

Selain Chen Long, juara dunia lima kali Lin Dan dari China dan pemain Denmark, Jan O Jorgensen antara pemain pilihan untuk merangkul kejuaraan julung Terbuka Malaysia. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 9:40 AM