GAMBAR menunjukkan Sukumaran (kanan) dan Chan (kiri) ketika dibicarakan beberapa tahun lalu.
GAMBAR menunjukkan Sukumaran (kanan) dan Chan (kiri) ketika dibicarakan beberapa tahun lalu.
Reuters

Jakarta: Sebuah mahkamah di Indonesia yang mendengar rayuan dua pesalah dadah warga Australia yang dihukum mati akan mengumumkan keputusan rayuan itu pada 6 April ini, kata hakim semalam.

Myuran Sukumaran dan Andrew Chan antara 10 pesalah dadah yang kebanyakannya warga asing dan bakal dihukum mati selepas pengampunan mereka ditolak Presiden Joko Widodo (Jokowi).

“Kedua-dua pihak diberi peluang secukupnya untuk mengemukakan bukti dan kenyataan.

“Panel tiga hakim akan membuat keputusan selepas mengkaji bukti yang dikemukakan.

“Mahkamah ditangguhkan sehingga Isnin, 6 April ini dan panel hakim akan membaca keputusan untuk kedua-dua kes,” kata Hakim Ujang Abdullah.

Kerajaan Australia berulang kali merayu kepada Jakarta supaya tidak menghukum mati dua rakyatnya itu tetapi tidak dilayan Jokowi sekali gus meningkatkan ketegangan antara kedua-dua negara berjiran berkenaan.

Sukumaran dan Chan didapati bersalah pada 2005 kerana menjadi ketua sindiket pengedaran dadah ke Indonesia yang dikenali sebagai Bali Nine.

Seramai empat daripada 10 pesalah yang dihukum mati mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah berkenaan.

Pejabat Peguam Negara memberitahu bahawa, semua pesalah berkenaan akan ditembak mati oleh skuad penembak secara serentak tetapi tarikh hukuman masih belum ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 9:45 AM