Manila: Kerajaan Filipina meletakkan tentera dalam keadaan berjaga-jaga semalam dan menyediakan bekalan makanan serta ubat-ubatan sebagai persediaan menghadapi taufan super yang dijangka melanda pantai timur negara itu dalam tempoh 72 jam.

Kerajaan juga memberi amaran kepada penduduk dan pelancong yang dijangka melawat kawasan pelancongan di pantai timur negara itu sempena cuti perayaan Easter supaya berjaga-jaga.

Taufan Maysak yang kini bergerak di Lautan Pasifik diletakkan pada kategori lima iaitu yang tertinggi dengan angin selaju 250 kilometer sejam.

Biro kaji cuaca berkata, taufan itu dijangka semakin lemah ketika membadai tengah atau utara pulau Luzon pada Sabtu atau Ahad ini.

“Taufan ini sangat kuat dan ia akan mengekalkan kekuatannya ketika menghampiri daratan. Namun, kami menjangka ia semakin lemah.

“Ia juga membawa angin kuat apabila tiba di kawasan pantai timur,” kata Esperanza Cayanan, seorang pegawai di biro kaji cuaca.

Taufan Maysak dijangka merosakkan tanaman padi dan jagung di kawasan tengah dan utara Filipina tetapi kerosakan dijangka kecil kerana musim utama menuai padi selesai pada Februari lalu.

Beribu-ribu penduduk sudah memulakan perjalanan ke wilayah terjejas dan kawasan pelancongan popular menjelang cuti perayaan yang bermula hari ini.

“Kerana cuti perayaan mungkin ada antara kita tidak menerima maklumat mengenai amaran ini,” kata Cayanan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 9:44 AM