Lisbon: Portugal merampas tangga teratas Kumpulan I kelayakan Euro 2016 selepas menang tipis 2-1 ke atas Serbia, awal pagi semalam.

Tuan rumah mendahului selepas 10 minit apabila pertahanan Ricardo Carvalho menanduk bola kencang menerjah jaring dari jarak dekat.

Pemain tengah Nemanja Matic menyerlah buat Serbia yang agak hambar dan kurang kreativiti dengan pertahanan kanan Chelsea, Branislav Ivanovic bergelut di pertahanan tengah dan dipersalahkan kerana gol Carvalho itu.

Matic yang beraksi di gelanggang lamanya Benfica, memukau dengan satu sepakan gunting kaki kiri bagi menyamakan kedudukan 1-1 selepas 61 minit.

Namun Portugal kembali di depan menerusi pemain terbaik perlawanan Fabio Coentrao yang menampan masuk hantaran leret Joao Moutinho bagi melengkapkan persembahan bertenaga.

“Pasukan saya mempamerkan banyak kematangan dan pengalaman,” kata pengurus Portugal, Fernando Santos.

“Bukan usia atau identiti pemain menjadi aspek paling utama dalam skuad kami tapi kesediaan untuk bekerja keras bagi meraih keputusan yang kami ingini.

“Skuad ini sedia bekerja keras bagi mencapai sasaran ditetapkan,” katanya.
- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 9:51 AM