BAKAT Ella disunting komposer LY.
BAKAT Ella disunting komposer LY.
Syanty Octavia Amry


Sedar bukan mudah mencipta nama sebagai anak seni, penyanyi kelahiran Singapura, Ella Sidek, 25, berharap kehadirannya dalam industri seni tempatan di terima ramai.

Memulakan karier nya­nyian sejak di bangku sekolah, Ella menjadikan penyanyi Ziana Zain dan Ella sebagai idola dan rujukan untuknya terus berkarya.

Tidak hanya menyanyi dia juga boleh menghasilkan lagu, malah single barunya berjudul Ada Dihatimu adalah ciptaan sepenuhnya oleh Ella sendiri.

“Single ini saya hasilkan sejak enam bulan yang lalu dan kemudian ia dilancarkan. Alhamdulillah, walaupun sambutan belum menggalakkan saya gembira kerana peminat di sini dapat menerima kehadiran saya.

“Bukan tidak yakin untuk mencipta nama di negara sendiri, tetapi saya mahu diri dikenali di seluruh Asia. Oleh itu, saya yakinkan diri untuk mencuba di sini dan tidak sangka bakat saya dilihat komposer LY yang menjadikan saya anak didik dan bernaung di bawah syarikat miliknya.

“Single ini juga turut dimuatkan dalam album kompilasi berjudul Kalimah Sakti. Di dalam album ini terdapat lagu daripada anak didik LY yang lain,” kata anak keempat dari lima beradik ini.

Masih bekerja dalam bidang pentadbiran di sebuah syarikat swasta di Singapura, Ella tidak menganggap itu alasan untuknya duduk diam saja.

Sebaliknya, jika ada kelapangan dia ligat menerima undangan nyanyian tidak hanya di Singapura, malah di Kuala Lumpur juga.

“Setiap penyanyi pasti mahu dikenali, begitu juga dengan saya. Namun perkara itu terletak pada nasib seseorang ada yang mengambil masa singkat ada juga yang sudah lama barulah dikenali.

“Seperti saya sendiri, tidak kisahlah cepat atau lambat dikenali yang penting dapat mencipta nama di sini dan mengumpul peminat dari Malaysia.

“Saya tahu ia tidak semudah yang disangka apatah lagi sekarang ini terlalu ramai artis baru yang muncul, oleh itu saya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi yang penting masih terus dapat berkarya dan menghasilkan lagu ciptaan sendiri,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2015 @ 5:04 AM