Inisiatif dilakukan Pos Malaysia yang mewujudkan peti surat ke 3,110 di atas tanah paling tinggi dalam sejarah adalah satu perkara yang cukup istimewa khususnya bagi pendaki.

Terletak di Pendant Hut, Laban Rata, Ranau, peti surat itu diiktiraf MBOR sebagai peti surat yang berada di altitud tertinggi di negara ini.

Peti yang terletak pada ketinggian 3,289 meter dari aras laut boleh ditemui selepas pendakian selama empat hingga enam jam dari Timpohon Gate di Taman Kinabalu yang juga satu daripada laluan utama untuk ke puncak Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter.

Menariknya, setiap surat atau poskad yang dihantar melalui peti pos ini dicap menggunakan dakwat khas yang memaparkan lukisan Gunung Kinabalu dan aras ketinggiannya.

Ketika majlis pelancarannya, Jailani berkata, kewujudan peti surat berkenaan mampu menaikkan lagi nama Gunung Kinabalu sebagai destinasi pendakian utama dunia berikutan menerima 50,000 pendaki setiap tahun.

“Saya mahu Pos Malaysia menerokai lokasi baru untuk diletakkan peti surat yang bukan hanya mampu menaikkan nama syarikat ini sendiri, malah melonjakkan sektor pelancongan negara.

“Antaranya di tanah penghujung benua Asia di Tanjung Piai, Johor atau di penghujung Borneo di Simpang Mengayau, Kudat selain di dasar laut di pulau ternama yang terkenal di Semporna, Sabah,” katanya.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu termasuk Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Azlan Shahrim, Pengerusi Taman-Taman Sabah Datuk Seri Dr Tengku Zainal Adlin Tengku Mahmood dan Pegawai Eksekutif MBOR Zulhairi Md. Zin.

Dalam pada itu, Azlan berkata, sebelum ini, Pos Malaysia sudah meletakkan peti surat di Gunung Machinchang, Langkawi, Kedah pada aras ketinggian 700 meter dari aras laut.

“Kami akan menerokai kawasan pergunungan lain di negara ini untuk menaikkan nama Pos Malaysia dan mempromosikan lokasi menarik yang ada di seluruh negara.

“Penyediaan penyediaan peti pos di kawasan pelancongan di seluruh negara adalah inisiatif terbaru syarikat dalam memperluaskan perkhidmatannya selain memastikan sistem pos terus dimanfaatkan masyarakat meskipun berdepan cabaran era digital,” katanya.

Katanya, menerusi pendekatan itu, amalan mengepos surat dan poskad tidak akan lenyap kerana sistem ini mempunyai nilai sentimental yang tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2015 @ 12:40 PM