FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

Nilai: Sebuah keluarga sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Lorong Stor, Kampung LBJ, di sini, musnah terbakar 7.10 malam tadi.

Ketika kejadian semua penghuni seramai 10 orang berada di dalam rumah, namun mereka terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan seorang penghuni menyedari kepulan asap dan api di siling rumah sebelum menjerit meminta semua ahli keluarganya keluar menyelamatkan diri.

Api yang marak dengan cepat menyebabkan mereka tidak dapat melakukan apa-apa untuk memadam kebakaran dan menyelamatkan harta di dalam rumah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Penolong Kanan Penguasa Bomba Badrul Isham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.25 malam dan tiba ke lokasi 15 minit kemudian bersama 24 anggota dan tiga jentera termasuk bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2.

Beliau berkata, sejurus tiba api sedang marak, namun kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya dalam masa 25 minit.

"Rumah berkenaan musnah 90 peratus dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya ketika di temui di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2015 @ 12:00 PM