Oleh Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Seorang pegawai penyiasat lelaki yang bekerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini, atas dua pertuduhan meminta suapan.

Mohd Ferdaus Abdullah, 28, didakwa meminta suapan daripada seorang lelaki, Ismail Dahlan.

Dia didakwa meminta suapan sebanyak RM2,500 pada 2 Jun 2014 dan RM1,900 pada 4 Jun 2014 ketika berada di IPD terbabit.

Ia sebagai dorongan bagi dirinya supaya tidak mengambil tindakan dan menyelesaikan kes membabitkan seorang wanita yang disyaki memiliki dadah.

Mohd Ferdaus didakwa di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Jika disabit kesalahan, boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim Mahkamah Sesyen, Mohammad Haldar Abdul Aziz menetapkan jaminan keseluruhan sejumlah RM10,000 bagi kedua-dua kes dan menetapkan 13 April sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) , Abdul Ghafar Ab Latiff manakala tertuduh diwakili peguambela, Nor Hidayu Arshad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2015 @ 11:47 AM