PELAYARAN 139 km melalui beberapa kota dan peradaban sejarah.
PELAYARAN 139 km melalui beberapa kota dan peradaban sejarah.
Kuil Karnak di Luxor yang boleh dilihat dari kapal persiaran.
Kuil Karnak di Luxor yang boleh dilihat dari kapal persiaran.
KUARI kuno lokasi Firaun mendapatkan baru granit untuk dibuat obelisk tidak dapat disiapkan kerana retak.
KUARI kuno lokasi Firaun mendapatkan baru granit untuk dibuat obelisk tidak dapat disiapkan kerana retak.
PENULIS mengabadikan gambar berlatar ukiran di Kota Edfu.
PENULIS mengabadikan gambar berlatar ukiran di Kota Edfu.
Oleh Muhazian Md Noor

Usahkan terpegun, malah teruja terus. Begituah perasaan yang boleh diterjemahkan ketika berpeluang menaiki kapal menyusuri Sungai Nil dari Aswan ke Luxor, Mesir akhir musim sejuk, baru-baru ini.

Dengan cuaca sejuk sekitar 10 darjah Celsius, pelayaran sepanjang Sungai Nil sungguh nyaman dihiasi pemandangan indah sungai yang berwarna kebiruan dan sangat bersih.

Pelayaran selama empat hari tiga malam sejauh 139 kilometer (km) melalui beberapa kota dan peradaban bersejarah Firaun benar-benar membuka mata penulis dan ahli keluarga terhadap tamadun Mesir kuno yang sering disebut di dalam al-Quran.

Sebelum menaiki kapal pelayaran, kami dibawa oleh pemandu pelancong untuk melawat kuari kuno batuan granit di mana raja Firaun mendapatkan bekalan batuan granit untuk dibuat keranda dan obelisk (tiang mercu tanda) mereka.

Kuari kuno itu terletak di Aswan, 682 km dari Kaherah dan paling menarik adalah obelisk yang tidak dapat disiapkan kerana retak yang cuba dibuat ketika pemerintahan Hatshepsut (seorang Firaun perempuan).

Memang menjadi tanda tanya kami sebelum ini, bagaimanakah agaknya batuan seberat bertan-tan itu boleh dibentuk sekata dan rata, walhal pada zaman itu tiada mesin canggih? Ternyata pada zaman itu, mereka mengenali pelbagai jenis batuan dan kekuatan batuan yang pelbagai.

Mereka menggunakan batuan berwarna hitam (sejenis batuan keras berasal daripada gunung berapi) sebagai pengetuk untuk membuat lubang pada batuan granit yang lebih lemah kekuatannya.

Sesudah itu, lubang kecil dibuat rapat sekitar batuan granit yang hendak dipotong. Kemudian, kayu api disumbat ke dalam lubang yang dibuat serta dibakar selama tiga bulan.

Ia bertujuan memberi kepanasan yang mencukupi kepada batuan itu. Apabila cukup waktunya, air akan dicurahkan ke dalam lubang api.

Curahan air akan menyejukkan batu dengan cepat dan akhirnya batuan granit akan meretak dengan sekata di sepanjang lubang tadi.

Melalui pengembaraan ini, kami diberitahu bahawa Mesir kuno dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian atas dan bawah Mesir.

Bahagian atas Mesir adalah kawasan hulu Sungai Nil yang lurus sehingga ke kawasan Syene. Kawasan ini diperintah oleh Firaun lain yang selalunya digambarkan dengan memakai mahkota berwarna putih (berbentuk tajam).

Bahagian bawah Mesir pula terletak di bahagian hilir dan delta Sungai Nil berdekatan Kaherah. Kawasan ini pula digambarkan dengan Firaun yang memakai mahkota merah (berbentuk seperti bangku).

Jika Firaun yang memerintah menguasai kedua-dua bahagian atas dan bawah Mesir, mahkota yang digambarkan adalah kombinasi bentuk tajam dan bangku.

Pengembaraan kami bermula jam 5 pagi keesokan harinya, di mana kapal berlabuh di perhentian pertama iaitu kota pemujaan Firaun Kom Ombo.

Kota itu memiliki seni bina berbeza mengikut Zaman Firaun Tua, Peradaban Greek hinggalah kepada Peradaban Roman. Kota itu mula dibina oleh Ptolemy VI (180-145 sebelum Masihi).

Satu daripada ukiran terkenal di dinding kota adalah ukiran alatan untuk pembedahan. Juga wujud sebuah kota memuatkan buaya yang dimumiakan oleh Firaun Tuthmosis III di sini.

Di Kota Kom Ombo, kami juga menyaksikan binaan seperti perigi (nilometer) yang digunakan oleh Firaun untuk mengukur paras air Sungai Nil. Pelik juga mengapa air sungai perlu diukur?

Rupa-rupanya Firaun menggunakan ukuran paras air itu bagi menentukan kadar cukai yang perlu dibayar oleh petani di bawah jajahannya.

Menyorot zaman dulu kala, Sungai Nil selalu dilimpahi banjir hinggalah sebuah empangan besar dibina di Aswan pada 1970. Sungai Nil mengalami banjir yang berkala dan disebabkan itu, banyak kota di sekitarnya ditenggelamkan oleh lumpur dan banyak juga yang musnah.

Namun begitu, banjir itu juga banyak memberi manfaat kerana membawa bersama lumpur yang menjadi baja kepada pesisiran sungai.

Penulis adalah pembaca Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 5:05 AM