Diam tak diam, penyanyi bersuara lunak, Nora Ariffin dikhabarkan mendapat tawaran berlakon daripada beberapa syarikat produksi.

Namun, penyanyi yang terkenal dengan lagu Hanya Satu itu berada dalam persimpangan dilema nak terima atau tidak tawaran itu.

Bagi Cik Pang, kalau betul tawaran berlakon yang diterima itu bagus dan beri manfaat, apa salahnya? Lagipun, walaupun sibuk dengan syarikat produksi bersama suaminya Johan Nawawi, Nora masih dilihat aktif dalam bidang seni dengan menerbitkan siri animasi Ummi... Ceritalah Pada Kami dan kumpulan Voice of Umi bersama anaknya.

Ramai juga teman Cik Pang dan peminat memberi respons positif apabila dapat tahu penyanyi comel itu ditawarkan berlakon.

Malah dengarnya, Johan juga memberi lampu hijau dengan syarat wataknya mesti bersesuaian dengan Nora yang juga ibu kepada empat cahaya mata, contohnya watak ustazah.

Cik Pang pun setuju kalau Nora terima tawaran berlakon. Yalah, sebelum ini sudah dikenali sebagai penyanyi dan pengacara, terbaru sebagai penerbit.

Jadi, apa salahnya kalau tambah satu lagi ‘title’ sebagai pelakon pula.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2015 @ 5:03 AM