JENAZAH mangsa diusung ke van jenazah. FOTO Farizul Hafiz Awang
JENAZAH mangsa diusung ke van jenazah. FOTO Farizul Hafiz Awang

Oleh Fuad Hadinata Yaacob dan Siti A'isyah Sukaimi

[email protected]

 

Sepang: Lebih dua bulan menanti, ketibaan jenazah anak kapal Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 Shaikh Mohd Noor Mahmood hari ini akhirnya melengkapkan kepulangan semua 15 anak kapal yang terkorban dalam nahas pesawat berkenaan.

Selain jenazah Shaikh Mohd Noor, 44, dua lagi jenazah tiba hari ini ialah penumpang pesawat MH17 iaitu Muhammad Afzal Tambi, 17, dan Marsha Azmeena Tambi, 15.

Semua jenazah itu tiba dari Amsterdam menggunakan pesawat MAS MH19 pada jam 6.20 pagi serta memasuki landasan Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), jam 8.30 pagi.

Sebaik tiba, ketiga-tiga jenazah dibawa turun dari pesawat dan diusung ke van jenazah.

Kemudian, sambil diiringi anggota pengiring, van jenazah bergerak di hadapan tetamu yang hadir dan bersedia dibawa pulang ke negeri masing-masing.

Jenazah Shaikh Mohd Noor dibawa terus ke Masjid Sultan Sulaiman, Klang menggunakan van jenazah, manakala jenazah Muhammad Afzal dan Marsha Azmeena diterbangkan ke Kuching, Sarawak menggunakan pesawat C130.

Hadir sama menyaksikan istiadat khas berkenaan, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 September 2014 @ 6:32 PM