DAYANG dan Rahmad akan menghiburkan peminat di Labuan.
DAYANG dan Rahmad akan menghiburkan peminat di Labuan.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Selepas menang Vokal Terbaik dan tempat ketiga dalam Anugerah Juara Lagu 29 (AJL 29) lalu, Dayang Nurfaizah terus bertuah apabila dinobatkan sebagai juara Mentor Legend bersama protegenya Azmil, Ahad lalu.

Ini membuktikan penyanyi kelahiran Sabah itu berada dalam kelas tersendiri. Justeru, Dayang tidak menang tangan memenuhi undangan nyanyian termasuk mengadakan persembahan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan di Dataran Labuan jam 8 malam ini.

Dia juga bertuah kerana menjayakan persembahan bersama penyanyi Rahmad Mega yang terlebih dulu mencipta nama dalam industri seni serta kumpulan Shiro yang dikenali ramai menerusi Maharaja Lawak Mega.

“Alhamdulillah rezeki saya tak pernah putus dalam bidang seni. Boleh dikatakan saya tak duduk diam kerana memenuhi pelbagai tawaran yang datang. Apapun 2015 menjanjikan pembukaan yang baik dalam karier saya.

“Biarpun sebelum ini sibuk dengan persiapan untuk AJL dan kemudian menjadi Mentor kepada Azmil, saya tak pernah menghampakan permintaan penganjur untuk mengadakan persembahan di depan peminat.

“Ini kerana saya nak menghargai mereka yang memberikan sokongan tak berbelah bagi kepada saya. Tanpa mereka siapalah saya. Sudah tentu saya akan berikan persembahan terbaik dengan menyanyikan lagu-lagu popular antaranya Di Pintu Syurga dan Dayang Sayang Kamu,” katanya.

Paling menggembirakan Dayang, persembahan ini turut disaksikan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor yang akan merasmikannya.

Majlis bertemakan Wilayahku Ceria’ itu turut dihadiri Pengerusi Perbadanan Labuan dan Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli.

Rahmad pula bakal menghiburkan peminat dengan lagu popularnya seperti Bayangan Gurauan, Terharu dan Aku Penghibur.

Dia yang kembali mencipta nama menerusi program Gegar Vaganza akan mengambil peluang mempromosikan album terbarunya Hujan yang kini berada di pasaran.

“Saya sebenarnya tak pernah sunyi dengan tawaran menyanyi, tapi kebelakangan ini populariti semakin memuncak selepas menyertai Gegar Vaganza. Kebetulan pula album terbaru saya baru dipasarkan, jadi peluang ini diambil untuk mempromosikannya kepada peminat,” katanya.

Kata Rahmad, album itu berkonsepkan funky dan pop balada yang mengandungi lima lagu antaranya Hujan, Sekali Lagi dan Tak Bisa Membenci.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Februari 2015 @ 5:02 AM