KEUPAYAAN vokal Shamim, Ernie curi perhatian FMC Records.
KEUPAYAAN vokal Shamim, Ernie curi perhatian FMC Records.
Oleh Norhadiani Baharom


Warga pencinta seni suara, sama ada berpengalaman mahupun baru bertatih sejak beberapa tahun kebelakangan ini berdepan dengan cabaran apabila keba­nyakan mereka perlu melabur modal sendiri untuk berkarya.

Berbanding 10 tahun lalu, kos rakaman album biasanya dibiayai syarikat rakaman yang dinaungi.

Dalam hal ini, Syed Shamim Al Idrus Syed Abd Kadir atau Shamim, 22, dan Nur Ernie Shahirah Zakri atau Ernie, 23, antara yang bertuah kerana keupayaan vokal dan bakat mereka menarik perhatian FMC Records lalu menawarkan rakaman single sebagai percaturan awal.

Shamim yang pernah merakamkan dua lagu duet bersama Tasha Manshahar menerusi Cuba Teka dan Be Mine, kini muncul dengan dua single solo berjudul Cinta Terbaik dan Belenggu.

“Kedua-dua proses rakaman itu sudah dilakukan dan saya difahamkan Cinta Terbaik akan diketengahkan terlebih dulu pada Mac ini diikuti Belenggu.

“Kedua-dua lagu berkenaan ditulis komposer Aiman dan saya sangat gembira diberikan lagu yang bersesuaian dengan vokal selain genrenya antara yang saya suka.

“Faham bahawa zaman sekarang ini artis yang gah nama mereka pun keluar modal sendiri untul berkarya dan saya berharap, single saya yang bakal muncul kelak diterima.

“Sokongan dan bantuan ramai pihak untuk artis baru seperti saya amat saya perlukan untuk kelangsungan kerjaya dan Insya-Allah mahu berbakti pada industri seni suara,”katanya.

Menjalani rakaman di Musicology Studio, penyanyi baru wanita yang ditampilkan FMC iaitu Ernie juga akan menyusul dengan sebuah single iaitu Takkan Pudar rekaan Akir HyperAct sementara lirik oleh Frozen.

“Sama seperti Shamim saya juga mengharapkan tuah Takkan Pudar. Ini kerana saya mula aktif dan bertekad untuk serius dalam lapangan seni suara sejak muncul juara Bintang RTM 2009. Malah, saya pernah menghasilkan album berjudul Sinaran. Namun, rezeki belum berpihak kepada saya untuk menyerlah,”katanya.

Ernie berkata, selepas merakamkan lagu duet bersama pelakon meningkat naik Aiman Hakim Ridza berjudul Kalimah Janji, orang sudah mula mengenalinya sedikit demi sedikit walaupun ada yang mendakwa dia cuba menumpang populariti Aiman.

“Pada 2014 saya muncul dengan Sedetik Cinta yang menjadi pertaruhan solo. Impaknya orang lebih kenal dengan lagu berbanding saya sendiri. Justeru Takkan Pudar menjanjikan saya satu kedudukan yang lebih selesa dan tidak akan pernah pudar dari industri muzik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Februari 2015 @ 8:22 AM