SKUAD B-22  bersama  Piala Emas Bangabandhu  KLIA semalam.
SKUAD B-22 bersama Piala Emas Bangabandhu KLIA semalam.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Sepang: Skuad Bawah 22 Tahun (B-22) berada pada landasan tepat mengharungi beberapa kejohanan penting selepas ini susulan muncul juara Piala Emas Bangabandhu, Ahad lalu.

Skuad kendalian Mohd Razip Ismail akan menyertai kelayakan Piala AFC Bawah 23 (B-23) dan Liga Singapura pada bulan depan dengan sebahagian besar pemain turut beraksi pada Sukan SEA Singapura pada Jun.

Kejuaraan sulung diraih di Bangladesh itu menimbulkan persoalan terhadap situasi dan kedudukan pengendali B-23 negara Datuk Ong Kim Swee yang ditugaskan untuk mengendalikan skuad Sukan SEA negara.

Skuad B-22 mara ke final tanpa melepaskan sebarang gol, selain mempamerkan kebangkitan bagi menewaskan skuad kebangsaan Bangladesh 3-2 untuk muncul juara.

Razip ketika ditanya berhubung perkara itu berkata beliau menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk membuat keputusan.

“Saya tidak tahu apa-apa (mengenai tugasan di Sukan SEA). Biar saya hadapi satu persatu pertandingan. Jika fikir panjang, hanya akan menimbulkan kerunsingan,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini memutuskan Harimau Muda A dibubarkan dengan Kim Swee diarahkan untuk memantau pemain dalam Liga Malaysia bagi dinilai untuk diserapkan ke dalam skuad B-23 untuk menghadapi Sukan SEA di Singapura pada Jun nanti.

Perkembangan berkenaan difahamkan kurang disenangi Kim Swee yang masih mempunyai kontrak sehingga penghujung tahun nanti.

Ditanya seandainya beliau diarahkan FAM mengendalikan skuad Sukan SEA negara, Razip berkata: “Insya-Allah, tengok dulu keadaan, saya tidak mahu ulas, terpulang kepada pihak pengurusan.

“Tugasan saya kini adalah menghadapi kelayakan Piala AFC disusuli Liga Singapura,” katanya.

Sementara itu mengenai pandangan sesetengah pihak yang kurang yakin dengan kemampuannya di pentas antarabangsa, Razip berkata, beliau tidak mampu menutup mulut pengkritik.

“Saya yakin dengan apa yang saya lakukan. Terpulang kepada mereka, saya tidak boleh tutup mulut orang. Saya akan lakukan dengan sumber yang ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Februari 2015 @ 7:46 AM