Saya baru memiliki motosikal Modenas Dinamik dalam tempoh tiga bulan. Apakah punca dan tanda awal motosikal itu mengalami 'jammed rod' dan bagaimana untuk mengelakkan ia berlaku?

RAZIKI

Selangor

Enjin motosikal dua lejang boleh terhenti atau 'jammed' kerana pengembangan bahan logam akibat operasi enjin terlalu panas.

Pengembangan mendadak menyebabkan dua komponen seperti rod omboh dan pin melekat, sekali gus tidak bergerak bebas seperti biasa.

Ia berlaku kerana operasi enjin terlalu panas atau berpunca akibat kegagalan sistem penyejukan.

Bagi enjin dua lejang, minyak pelincir 2T memainkan peranan penting dalam menyejukkan enjin.

Kadar kemasukan 2T pula biasanya dikawal oleh pam yang beroperasi mengikut putaran enjin.

Namun, harus difahami bahawa pam itu ditentukan sukatannya untuk pemanduan biasa dan tidak akan berubah mengikut kepanasan enjin.

Sistem penyaluran 2T itu kadangkala gagal, bagi mengelak ia berlaku, minyak pelincir itu perlu dicampur terus ke dalam tangki bahan api untuk memastikan campuran yang sekata.

Selain itu, harus disedari bahawa pam 2T menyalurkannya menerusi bahan api mengikut putaran enjin.

Saiz omboh dan dindingnya sudah ditentukan oleh pengeluar untuk menyesarkan haba dengan baik.

Penggunaan omboh yang tidak asli akan menjejaskan kemampuan penyesaran haba enjin.

Enjin yang panas dan hampir terhenti akan terasa berat. Jika terjadi, segera tarik tuil klac atau lepaskan pendikit dan berhentikan enjin untuk menyejukkannya.

Laraskan kembali pam 2T untuk menyalurkan lebih banyak minyak itu ke dalam enjin dan periksa palam pencucuh.

Jika palam pencucuh keputihan dan hangus, tukar kepada produk lebih panas yang sesuai dengan corak penunggangan anda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:00 AM