Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Tanah seluas 174.8 hektar yang diceroboh peneroka haram di Cameron Highlands, Pahang sudah dibersihkan pihak berkuasa.

Perkara itu dijelaskan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Mengenai Isu Cameron Highlands di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, tanah yang dibersihkan itu membabitkan 7.7 peratus daripada keseluruhan 2,232 hektar tanah yang diceroboh peneroka haram di kawasan peranginan bukit tinggi itu.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan operasi pembersihan tanah berkenaan biarpun berdepan pelbagai kesukaran.

"Selain itu, 800 pendatang tanpa izin (PATI) sudah diberkas serta diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

“Kami memandang serius tindakan PATI yang meneroka tanah haram di kawasan berkenaan," katanya.

Katanya, di samping aktiviti penguatkuasaan, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa juga akan meneliti semula pelan pembangunan tempatan bagi memastikan kelestarian Cameron Highlands sebagai destinasi pelancongan tanah tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 6:07 PM